KUALA LUMPUR, 9 FEBRUARI 2024 – Pusat Khidmat Parlimen Wangsa Maju dengan kerjasama Pertubuhan Latihan Teraju Nusa Malaysia (PLATINUM) akan menganjurkan satu karnival iaitu Havoc Wangsa Maju Kita Punya 2024 pada 24 Februari 2024 bertempat di Taman Tasik Danau Kota, Setapak.
Karnival ini akan memberi tumpuan kepada tiga acara utama iaitu FunWalk , pelancaran kad Wangsa Maju Kita Punya serta penyampaian biasiswa oleh Yayasan MSU. Program akan dimulakan di sebelah pagi dengan acara FunWalk Wangsa Maju Kita Punya yang bertemakan bandar rendah karbon.
Acara ini merupakan salah satu kempen untuk mengetengahkan Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon yang perlu direalisasikan dan dilestarikan bersama. Dalam acara ini, peserta digalakkan untuk berpenampilan berdasarkan tema mengikut kreativiti masing-masing. Sepuluh peserta yang paling menepati tema akan memenangi hadiah berupa wang tunai.
Khusus untuk anak jati Wangsa Maju, pemastautin tetap mahupun yang bekerja di dalam kawasan parlimen Wangsa Maju yang menyertai FunWalk ini akan menjadi antara yang terawal memiliki Kad Wangsa Maju Kita Punya. Kad ini merupakan tambahan kepada pelekat kenderaan Wangsa Maju Kita Punya yang sedia ada, dengan menyasarkan warga Wangsa Maju yang tidak berkenderaan serta berusia 15 tahun ke atas.
Dengan fungsi yang sama seperti pelekat kenderaan Wangsa Maju Kita Punya, pemilik kad layak untuk menebus ganjaran dalam program bulanan yang akan diadakan. Fungsi ini akan ditambah dari semasa ke semasa.
Karnival ini juga akan menampilkan Management and Science University (MSU) sebagai rakan strategik dalam menjayakan program ini di mana penyampaian Biasiswa Yayasan MSU akan menjadi salah satu agenda utama. Biasiswa ini akan diserahkan kepada calon-calon SPM 2023 untuk melanjutkan pelajaran ke MSU. Maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di MSU juga boleh didapati sepanjang karnival berlangsung.
Selain daripada tiga acara utama ini, ada pelbagai lagi aktiviti menarik sepanjang karnival ini antaranya saringan kesihatan percuma, Bazar SDG Back To School, sesi libat urus bersama Jabatan Kesihatan, KWSP dan PTPK serta kaunter-kaunter agensi seperti DBKL, pendaftaran PADU, PTPK, KWSP, Tabung Haji dan banyak lagi.
Salah satu acara yang dijangka akan menjadi tarikan adalah sesi Open Mic with Influencers yang akan menghimpunkan para pempengaruh media sosial khususnya dalam kalangan anak muda.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan menjemput dan mengalu-alukan kehadiran orang ramai khususnya warga Wangsa Maju untuk memeriahkan lagi karnival Havoc Wangsa Maju Kita Punya 2024 pada 24 Februari 2024 nanti.
Untuk pendaftaran FunWalk serta maklumat lanjut mengenai program ini dijemput untuk melayari laman media sosial rasmi Zahir Hassan di platform Facebook, Instagram, X dan TikTok.