KUALA LUMPUR – Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) menjalinkan Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Kontraktor Kelas “F” Bumiputera Malaysia (PERKOBF Malaysia) bagi menyalurkan dana pembiayaan untuk membantu kontraktor kecil menjalankan kerja-kerja yang diperolehi daripada kerajaan, agensi kerajaan, Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga syarikat swasta yang terpilih.

MoU itu telah ditandatangani di antara Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim dan Setiausaha Agung PERKOBF, Junida Hani Jamaluddin, disaksikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri AhmadMaslan beserta Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Dato’ Andy Kuek Kien Joo dan Presiden PERKOBF Malaysia, Tukiman Radion.

Kien Joo berkata, Planworth telah memperuntukkan sejumlah RM700 juta pada tahun ini dalam usaha untuk terus menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perniagaan korporat di Malaysia supaya terus berdaya maju dan sekaligus memberi penyelesaian kepada keperluan kemudahan pembiayaan yang amat diperlukan oleh mereka.

“Sehingga ke hari ini kami telah menyalurkan lebih daripada RM2 bilion yang mana secara tidak langsung telah menyokong kepada pertumbuhan ekonomi negara kerana tumpuan kami adalah menyediakan sokongan kewangan kepada kontrak-kontrak yang dikeluarkan oleh Kerajaan, Agensi-agensi Kerajaan, GLC dan juga kepada kontrak-kontrak dari syarikat swasta terpilih.

“Berikutan beberapa kejayaan di kalangan PMKS yang disokong dengan pembiayaan oleh Planworth, kami kini memperuntukkan lebih dana untuk membantu lebih banyak PMKS dengan proses kelulusan yang pantas, keperluan dokumen yang ringkas, polisi yang mesra kredit, serta penyaluran dana yang pantas tanpa perlu cagaran,” katanya pada majlis menandatangani MoU berkenaan, semalam.

Beliau berkata, dengan adanya kerjasama di antara Planworth dan PERKOBF ini, pihaknya dapat membantu menyalurkan dana secara lebih strategik kepada kontraktor kecil bagi membantu mereka untuk menjalankan kerja-kerja atau kontrak yang diperolehi.

“Inisiatif ini adalah sejajar dengan matlamat utama Planworth dalam memperjuangkan perkembangan lanskap perniagaan di Malaysia, disamping meneruskan reputasi Planworth sebagai institusi kewangan pilihan utama PMKS dan syarikat-syarikat pemula yang memerlukan pembiayaan,” katanya.

Planworth adalah sebuah institusi kewangan yang bereputasi dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan ePerolehan untuk membiayai para kontraktor, vendor, penjual, dan pembekal.

Kemudahan Pemfaktoran/Pembiayaan Invois Planworth dikecualikan daripada duti setem bermula daripada 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025, berikutan kelulusan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

By Cynthia

Leave a Reply