KUALA LUMPUR – Mengambil Gunung Tidar sebagai latar cerita, filem seram Paku Tanah Jawa bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 27 Jun ini.

Terletak di bahagian selatan Kota Magelang, Jawa Tengah,  secara umumnya Gunung Tidar cukup terkenal dengan ‘paku’ Tanah Jawa.

Biarpun ketinggiannya sekadar 503 meter dan tidak setinggi gunung-gunung lain di kepulauan Jawa, namun ia mempunyai keunikan tersendiri serta beberapa kisah misteri.

Hal itu telah memberi ilham kepada Armani Entertainment Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem yang diberi nama Paku Tanah Jawa.

Penerbit Eksekutifnya, Dato KK Chua berkata, idea untuk menerbitkan filem berkenaan timbul selepas mengetahui kisah-kisah misteri dalam kalangan masyarakat yang menghuni di kawasan Gunung Tidar.

“Saya tertarik dengan kisah urban legend yang diceritakan sehingga ia memberi inspirasi buat saya untuk menerbitkan sebuah naskhah seram.

“Apa yang menariknya, ia bukan sekadar filem mistik semata-mata, malah turut mengangkat budaya Sinden dan Sugihan,” katanya.

Paku Tanah Jawa diangkat daripada salah satu kisah mengenai seorang gadis yang dipandang serong masyarakat setempat.

Ia berpunca daripada ibu gadis berkenaan yang dikatakan telah mengorbankan ramai lelaki demi memenuhi syarat ritual sebuah ajaran sesat yang dilakukannya.

Filem arahan Bambang Drias dan Dato KK Chua itu dibintangi oleh barisan pelakon seperti Masayu Anastasia, Gisellma Firmansyah, MK K-Clique, Hasif Upin dan Wafda Saifan Lubis. 

Dalam pada itu, Dato KK Chua berkata, filem berkenaan juga cukup istimewa apabila membabitkan gandingan kerjasama dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

“Untuk barisan pelakon, kami telah memilih pelakon kedua-dua negara yang cukup popular dan ia adalah antara tarikan dalam filem ini,” katanya.

Berkongsi tentang proses pembikinan filem ini, beliau berkata, penggambaran bermula pada Mei 2023 dan berlangsung selama 14 hari di kawasan hutan yang terletak di Kota Jogjakarta.

“Kalau ditanya tentang gangguan pula, sudah tentu ada unsur-unsur mistik yang berlaku. Namun, penggambaran tetap berjalan seperti biasa.

“Lagipun, ada babak-babak ritual yang dilakonkan, tambahan pula kebanyakan penggambaran dilakukan di dalam hutan,” katanya.

Dalam pada itu, Dato KK Chua cukup optimis filem Paku Tanah Jawa akan mendapat sambutan baik penonton di Malaysia.

Katanya, di Indonesia, tayangang filem Paku Tanah Jawa sudah mencecah 430 ribu penonton atau sebanyak RM6.45 juta kutipan box office.

“Selain genre seram antara yang sering menjadi kegemaran penonton, saya percaya mereka akan tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan,” katanya.

Filem Paku Tanah Jawa akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 Jun 2024.

Sinopsis

Paku Tanah Jawa mengisahkan tentang seorang gadis, Ningrum yang selalu dipandang negatif oleh masyarakat di kampungnya.

Semuanya berpunca daripada ibunya sendiri iaitu Handini, seorang penyanyi dan primadona kampung yang dikatakan melakukan amalan ritual sehingga mengorbankan ramai lelaki.

Korban berkenaan dilakukan Handini sebagai syarat utama yang ditetapkan oleh ketua ajaran sesat, Kanjeng Semanu untuk dia terus kelihatan cantik dan digilai ramai.

Bagaimanapun, kehidupan Ningrum mula tidak tenteram apabila jejaka yang dicintainya dalam diam, Jalu bakal menjadi korban terbaharu ibunya.

By Cynthia

Leave a Reply