PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional dan Gabungan Trak Tunda Semenanjung Malaysia memohon kerajaan mempertimbangkan semula pemberian subsidi diesel dikekalkan kepada pengusaha trak tunda.

Wakilnya, Joseph Prakash berkata, pengusaha trak tunda tidak mempunyai gaji tetap dan bergantung sepenuhnya bayaran daripada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Mereka ini bergantung sepenuhnya terhadap bayaran daripada pelanggan dan sering merentas perjalanan yang jauh bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

“Dengan kesukaran ekonomi sekarang ini menyukarkan kami mengenakan caj baharu kepada pelanggan berikutan kenaikan harga diesel ini.

“Kami berharap dengan subsidi diesel yang diberikan kepada kami akan membantu syarikat trak tunda menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik sekali gus membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan yang berpatutan kepada pelanggan,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, hari ini.

Terdahulu, hampir 200 pengusaha trak tunda berhimpun secara aman untuk menyerahkan memorandum meminta kerajaan menyenaraikan kenderaan itu di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan mereka mendapat kad fleet.

Menerusi kad berkenaan mereka boleh membeli bahan bakar pada harga RM2.15 seliter, lebih murah berbanding kadar runcit RM3.35 seliter yang ditetapkan sejak 10 Jun lalu.

Joseph berkata, selepas bertemu barulah timbalan menteri faham situasi sebenar yang dihadapi oleh mereka.

“Kami merayu berilah peluang kami membeli diesel pada harga subsidi, jika tidak harga insurans kenderaan mungkin lebih mahal kerana kos tunda kereta akan meningkat tinggi,” katanya.

 

By Cynthia

Leave a Reply