KUALA LUMPUR- Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini menganjurkan Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah bagi pelajar terpilih tahun 5 dan 6 daripada kesemua sekolah rendah di Kuala Lumpur.

Menurut YWP, program itu dijangka akan mengurangkan kesalahan dan kesilapan tradisi pembacaan Al-Fatihah terutama di kalangan golongan muda.

Sebanyak empat program dijadual dilaksanakan mengikut daerah Pendidikan di Kuala Lumpur iaitu Daerah Sentul, Keramat, Pudu dan Bangsar.

Setiap program dijangka dihadiri seramai 200 hingga 220 peserta terdiri daripada murid-murid dan guru pengiring.

Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah yang diadakan di Masjid Al-Imam Ash Shafie, Taman Maluri hari ini adalah program ketiga dan dihadiri hampir 200 peserta terdiri daripada murid dan guru daerah Pudu.

Pekeliling jemputan ke program adalah melalui Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.

Program ini juga untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bacaan dan amalan yang sempurna dalam solat 5 waktu melalui sesi Pemantapan Solat yang dijalankan oleh Ustaz Prof Dr Hasnan Kasan, pensyarah yang telah mempopularkan program kesempurnaan solat sejak lebih sepuluh tahun lalu.

Penerangan dan amali bermula daripada doa, wudhu dan kesempurnaannya sehingga selesai rukun solat.

Klinik Fatihah, sesi kedua program diketuai oleh Hanifat Harun, Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia WP Kuala Lumpur (IKPIM WPKL).

Sesi ini memberi penekanan dalam menyempurnakan bacaan Al-Fatihah dalam Solat, melalui pembentangan digital dan peserta kemudian dibahagikan kepada kumpulan diketuai oleh Pembimbing yang akan membuat penilaian individu.

Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah ini dianjurkan bersama oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Kuala Lumpur (LKPIM WPKL) dengan Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur (JPWPKL), YWP dan Majlis Agama Islam WP (MAIWP).

Turut menjadi rakan strategik program itu adalah Pergerakan Puteri Islam Malaysia WPKL, Kumpulan Pengajian Al-Quran Mengejar Cinta Illahi (MCI) dan Tenaga Pembimbing Tajwid Akademi Yayasan Nasyrul Quran Putrajaya.

LKPIM WPKL adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program dan aktiviti melibatkan pergerakan komuniti wanita Islam, dengan berperanan untuk menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan wanita dan keluarga.

Ini menuju ke arah satu masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, maju dan berbakti kepada masyarakat.

Leave a Reply