KUALA LUMPUR – Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade), peneraju inovasi dalam perkhidmatan kewangan digital, melancarkan Kad Korporat mereka, Merchantrade Money Biz.
Merchantrade Money Biz adalah Kad Prabayar Perniagaan Visa yang pertama di Malaysia.
Produk inovatif ini direka bagi memudahkan pengurusan perbelanjaan untuk syarikat-syarikat dari pelbagai industri dan saiz, dari Korporat hingga Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS).
Merchantrade Money Biz menggabungkan tiga kaedah inovatif Kad Prabayar Perniagaan Visa yang dipautkan dengan eDompet pelbagai mata wang, dan portal pengurusan perbelanjaan dengan fungsi yang direka untuk perniagaan moden.
Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Ramasamy K Veeran berkata, Merchantrade Money Biz memberi kelebihan kepada pekerja di semua peringkat dengan kad prabayar korporat sambil menyediakan kemudahan untuk majikan mengawal dan mengurus kewangan dengan tepat dan betul.
“Kami percaya bahawa kad prabayar korporat ini adalah satu inovasi yang telah mengubah cara syarikat dalam mengurus perbelanjaan mereka dan menjadi satu alternatif yang terbaik bagi mereka yang tidak dapat memperoleh kad kredit korporat dengan bebas risiko pembelanjaan berlebihan dan bebas faedah.
“Terdapat lebih satu juta syarikat perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia dan kami menetapkan sasaran lima peratus yang akan menggunakan perkhidmatan Merchantrade Money Biz.
“Secara tidak langsung ia dapat membantu mereka mengurangkan kos pengurusan dan menjalankan perniagaan dengan lebih sistematik tanpa berlakunya ketirisan kewangan.
“Kami juga sedang meneroka industri lain yang memerlukan sistem pengurusan kewangan yang mudah dan selamat.
“Setakat ini lebih 80 syarikat telah mendaftar dan kami yakin mampu menyediakan penyelesaian kewangan digital yang inklusif dan efektik dalam memenuhi keperluan syarikat yang berkembang pesat,” katanya pada majlis pelancaran kad prabayar berkenaan, semalam.
Dikuasakan oleh Visa, kad prabayar perniagaan ini boleh digunakan oleh pekerja untuk membuat pembayaran di seluruh dunia, sama ada dalam talian atau runcit untuk perbelanjaan syarikat.
Dipadankan dengan eDompet pelbagai mata wang yang membolehkan pengguna menukar mata wang sehingga 20 mata wang asing dengan kadar tetap untuk pembayaran antarabangsa.
Portal pengurusan perbelanjaan pula bukan sahaja secara automatik dan mendigitalkan proses perniagaan, tetapi juga memberikan 100 peratus ketelusan pada semua transaksi dan termasuk kawalan yang mantap.