KUALA LUMPUR – Sebagai langkah dalam meneruskan kesinambungan sukan dua roda ke arah permotoran, M8 Pushbike dan ZK Racing bakal bekerjasama mengadakan perlumbaan pocketbike berskala besar yang akan diumumkan kelak.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, kedua-dua pihak sentiasa berbincang mengenai hala tuju pelumba pushbike di masa hadapan dan berpendapat bahawa kesinambungan dari sukan pushbike adalah ke platform perlumbaan motosikal seperti MiniGP.
Dalam masa terdekat ini juga, M8 sedang giat melaras acara Come & Try bagi pelumba pushbike merasai pengalaman menunggang jentera Pocketbike yang berkemungkinan akan diadakan pada awal Ogos depan sempena FIM MiniGP Malaysia Pusingan 4.
“M8 akan menganjurkan kejuaraan Pocketbike dan dibantu oleh ZK Racing selaku pasukan teknikal yang akan membantu di dalam pengoperasian serta mengendalikan jentera, latihan dan sebagainya.
“Kerjasama ini akan melengkapkan transasi dari sebuah basikal imbang iaitu pushbike ke pocketbike yang berenjin dan size yang lebih kecil dibandingkan dengan MiniGP.
“Objektif utama kolaborasi ini salah satunya adalah kesinambungan karier seorang pelumba pushbike ke sukan dua roda sekali gus melahirkan lebih ramai pelumba motorsikal negara di masa hadapan,” katanya.
Wan Mohd Muzri Ramli berkata demikian ketika ditemui di M8 International Pushbike GP Series yang berlangsung di Langkawi, baru-baru ini.
Dalam acara sukan bertaraf antarabangsa yang berlangsung selama dua hari itu, seramai 400 peserta dari empat negara seperti Indonesia, Thailand, Singapore dan Malaysia berentap merebut kejuaraan.
Lebih membanggakan, pasukan M8 Malaysia berjaya mengungguli lima daripada sembilan kategori yang dipertandingkan termasuk kejayaan hero cilik, Maleeq Dragster, Mikayla 44 dan Dayyan Adam dalam kategori masing-masing.
“Terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelancongan yang menyokong M8 International Pushbike Gp Series yang diadakan di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), baru-baru ini.
“Pertandingan M8 International akan diadakan sekali lagi di Langkawi tahun hadapan bagi menggalakkan program pelancongan dan sukan di Langkawi.
“Kerjasama antara M8 Eagle Pushbike, M8 Malaysia, ZK Racing dan Lada pastinya memberi daya tarikan yang lebih terbaik pada 2025 nanti,” katanya.