KUALA LUMPUR – Seramai 640 pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.

Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang diadakan di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

Program Tuisyen Rakyat KKDW merupakan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di kalangan pelajar luar bandar, khususnya anak-anak pekebun kecil di bawah RISDA.

Melalui program ini, kelas tambahan disediakan untuk membantu pelajar menghadapi peperiksaan SPM memfokuskan lima mata pelajaran teras iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya menyatakan, “Kejayaan 840 pelajar ini adalah satu pencapaian yang perlu dikongsi dan hargai sebagai bukti betapa pentingnya sokongan dan usaha bersama dalam membantu pelajar luar bandar mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Program ini membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan peluang pendidikan yang sama rata untuk semua pelajar luar bandar, sepertimana pelajar di kawasan bandar.”

Melalui inisiatif ini, KKDW berusaha untuk meminimumkan halangan- halangan yang menjadi benteng kepada pencapaian potensi penuh pelajar luar bandar antaranya memberi nilai tambah dengan mengurangkan beban kewangan ibu bapa melalui bahan rujukan percuma kepada pelajar.

Sejak mula dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMKe-9), Program Tuisyen Rakyat telah menunjukkan keberkesanannya dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Pada tahun 2023, KKDW telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM4.16 juta kepada RISDA yang memberi manfaat kepada 3000 orang pelajar melibatkan 200 pusat tuisyen di seluruh negara dengan komitmen daripada 1000 orang guru.

Tuisyen Rakyat RISDA bagi peperiksaan SPM Tahun 2023 majoritinya telah mencapai keputusan 5A ke atas, 2 orang pelajar mencatat keputusan cemerlang 12A, 19 orang menerima 11A dan 17 orang menerima 10A.

KKDW akan terus menyokong RISDA dan agensi – agensi dibawahnya bagi memperkasa inisiatif Program Tuisyen Rakyat ini agar lebih ramai pelajar luar bandar dapat menikmati pendidikan berkualiti.

Kecemerlangan yang ditelah dicatatkan mencerminkan bahawa Program Tuisyen Rakyat sememangnya amat memberi manfaat dan RISDA sebagai agensi pelaksana turut membuktikan kesungguhan sebagai agensi peneraju kemajuan pekebun kecil.

Leave a Reply