SEPANG – Malaysia menjadi antara destinasi pilihan utama bagi pelajar dari China untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata perkara itu didorong oleh pelbagai faktor termasuk kos sara hidup dan pengajian yang berpatutan selain hubungan diplomatik erat antara kedua-dua negara.
Katanya, pelajar dari China mencatatkan permohonan tertinggi untuk mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini dan perkara itu mencerminkan keyakinan mereka terhadap kualiti pendidikan Malaysia.
“Dalam usaha memperkukuh inisiatif pendidikan dengan China, MQA turut menjalin kerjasama bersama Chinese Service Center For Scholarly Exchange (CSCSE) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkuat kerjasama dalam bidang jaminan kualiti dan penilaian.
“Kerjasama itu menekankan komitmen bersama kedua-dua entiti untuk mengekalkan standard kecemerlangan dan mempromosikan pengiktirafan bersama kelayakan dan program yang diiktiraf,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MQA dan CSCSE terbabit dalam pelbagai usaha kerjasama termasuk memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran mengenai kerangka kelayakan negara serta proses akreditasi mempromosikan kerjasama antarabangsa untuk pengiktirafan kelayakan dan kemahiran yang diperoleh melalui pendidikan tinggi.
Beliau berkata, kerjasama itu juga memberi fokus kepada membangunkan mekanisme yang telus untuk penilaian dan pengiktirafan kelayakan yang diperoleh melalui kerjasama pendidikan antarabangsa.
Katanya, bagi memperkukuhkan pertukaran akademik dan perkongsian antara institusi pendidikan di Malaysia dan China serta berkongsi penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang jaminan kualiti dan penilaian.
“Berdasarkan portal Study in China, mekanisme pengiktirafan bersama program akademik bagi mempromosikan kerjasama dalam pendidikan tinggi memudahkan mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.
“Menerusi kerjasama yang termeterai dengan CSCSE, agensi kelayakan dari China itu mengiktiraf semua program yang telah mendapat akreditasi daripada MQA, inisiatif ini mampu menarik lebih ramai pelajar negara itu ke Malaysia,” katanya.