KUALA LUMPUR – Melabuhkan tirainya hari ini, Kongres Koperasi Kebangsaan (KKK) 2024 mengetengahkan 8 resolusi sebagai agenda pemerkasaan koperasi negara dalam persaingan ekonomi yang semakin mencabar.
Memfokuskan kepada isu inisiatif dan hala tuju baharu gerakan koperasi, kongres anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu turut mendapat sokongan penuh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).
Antara resolusi yang diketengahkan adalah sektor koperasi hendaklah diiktiraf sebagai sektor utama penyumbang kepada ekonomi negara yang menjadi pemangkin kepada kerangka Ekonomi MADANI.
Kongres ini juga mahu undang-undang dan peraturan dipinda bagi mengiktiraf koperasi sebagai entiti perniagaan.
Resolusi itu dibentang dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di hadapan lebih 5,000 orang peserta membabitkan pemimpin dan anggota koperasi, wakil agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun secara fizikal dan dalam talian.
Terdahulu, pelbagai isu telah diangkat sebagai agenda hasil libat urus membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan serta pemegang taruh yang dijemput khas menerusi beberapa siri Sesi Libat Urus (SLU) yang telah diadakan oleh ANGKASA bermula Februari 2024 yang lalu.
Kongres ini memberi penekanan kepada empat fokus utama iaitu Jati diri dan identiti koperasi, Akta, peraturan dan tata kelola koperasi, Pendidikan dan modan insan koperasi dan Daya saing perniagaan koperasi.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya begitu menekankan bahawa pemantauan dan pelaksanaan semua resolusi yang diketengahkan adalah penting dan perlu diberi perhatian terutama selepas berakhirnya KKK 2024.
“Hasil resolusi daripada kongres ini bukan hanya sekadar laporan dan kertas kerja semata-mata, tetapi idea-idea yang diperoleh sepanjang sesi libat urus dan kongres ini memerlukan komitmen daripada perdana menteri untuk dilaksanakan oleh kerajaan.
“ANGKASA yakin, resolusi ini akan dimuktamadkan menerusi pemantauan yang berterusan dan penyelarasan dari semasa ke semasa untuk memartabatkan sektor koperasi ke tahap lebih baik”, katanya pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024, hari ini.
Hadir sama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri KUSKOP; Datuk Ewon Benedick.
Sementara itu, Dr Abdul Fattah berkata, bagi mengukur kejayaan sebenar KKK 2024, ia terletak pada usaha menyeluruh semua pemimpin dan anggota koperasi, wakil agensi kerajaan dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) untuk menterjemahkan resolusi itu dalam bentuk pelaksanaan efektif bagi memenuhi harapan dan aspirasi koperasi.
KKK 2024 yang bermula selama dua hari, 25 hingga 26 Julai itu menjadi wadah wakil koperasi dari latar belakang berbeza berbincang dan mengisytiharkan beberapa resolusi berhubung isu cabaran yang dihadapi oleh gerakan koperasi sepanjang lebih 100 tahun berperanan memberi sumbangan kepada peningkatan sosioekonomi negara.
Kongres pertama koperasi yang dikenali sebagai Kongres Kerjasama Malaysia Pertama telah diadakan pada tahun 1966 manakala Kongres Kerjasama Malaysia Kedua pada 20 hingga 21 Mac 1971 telah memuktamadkan penubuhan sebuah kesatuan koperasi peringkat kebangsaan bagi mewakili gabungan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa yang membawa kepada detik bersejarah penubuhan ANGKASA secara rasminya pada 12 Mei 1971.
ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi negara menaungi lebih 15,809 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 7.2 juta anggota individu di seluruh negara.