KUALA LUMPUR – Pereka fesyen muda di negara ini sememangnya mempunyai bakat terpendam dalam menghasilkan busana dengan pelbagai inspirasi dan kreativiti.
Bagi menyokong dan terus memperjuangkan budaya Malaysia melalui fesyen, pereka fesyen yang juga penganjur acara (FM Group) Jonathan dan Farel Mikhail mengambil inisiatif menganjurkan International Cultural Fashion Week (ICFW) sempena festival Precious Of Malaysia.
Menurut Farel, pertandingan fesyen itu mendapat sambutan luar biasa yang turut membabitkan penyertaan empat Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia iaitu Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM Shah Alam), Taylor’s University, ESMOD Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti Selayang.
“Sehingga ke hari ini kami menerima permohonan dari banyak IPT untuk menyertai pertandingan ICFW.
“Namun, untuk penganjuran kali ketiga ini, kami hanya memilih empat IPT sahaja kerana mahu lebih fokus dan mementingkan kualiti.
“Insya-Allah, ICFW tahun depan kami akan membabitkan lebih banyak IPT untuk menghantar peserta.
“Kami melihat juga kesungguhan dan rekaan yang bakal ditampilkan. Ini kerana, kami mahukan sentuhan baharu, kreatif dan idea luar kotak terhadap busana tradisional.
“Pada masa sama, ICFW adalah platform buat mereka untuk dikenali dan terus ‘terbang tinggi’ dalam bidang rekaan fesyen. Melalui pertandingan seperti inilah bakat mereka boleh digilap dan bersaing secara sihat.
“Ada juga yang bertanya, buat apa penat lelah memberi ruang kepada pelajar IPT. Jawapannya adalah rasa tanggungjawab kami sebagai anak muda untuk terus memartabatkan budaya Malaysia,” katanya.
Farel ditemui media pada acara ICFW (sesi pelajar IPT) di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Farel juga berharap segelintir warganet yang gemar merendah-rendahkan bakat pereka fesyen muda, dapat memberi kritikan secara membina.
“Tidak dinafikan, netizen bebas berkata atau menulis apa sahaja dalam media sosial mereka. Itu hak mereka yang kita tidak boleh sekat.
“Namun, janganlah menghina atau mengeji rekaan pereka muda yang masih dalam proses belajar. Janganlah patahkan semangat mereka yang berusaha gigih untuk lakukan yang terbaik.
“Kami tahu bagaimana sakitnya rasa dihina dan rekaan kita diperlekehkan. Bukan tidak boleh menegur atau memberi komen, tetapi biarlah kritikan yang membina.
“Tegur kelemahan dan berikan cadangan apa yang lebih baik agar mereka dapat mempelajari sesuatu,” katanya.
Sementara itu, Jonathan pula berharap ICFW akan menjadi pemangkin kepada anak-anak muda di IPT untuk menyerlahkan bakat mereka.
“Saya rasa berbangga apabila ramai anak muda yang cenderung memperjuangkan busana tradisional yang juga sebahagian daripada budaya kita. Inilah masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka.
“Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen. ICFW adalah tempat dan peluang buat mereka,” katanya.
Katanya, tahun 2024 menyaksikan kelainan ICFW berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Keputusan ICFW sesi IPT turut memperlihatkan mereka berentap dengan pereka fesyen muda yang sudah mempunyai jenama sendiri.
Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya.
Selain itu, antara penaja yang turut serta menyokong acara ini adalah Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September depan.
Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1001 orang hadir memakai tanjak pada hari tersebut.
Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara.