KUALA LUMPUR – Lebih 500 perwakilan dari 28 negara menyertai 14th Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) ke-14 yang telah berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.
Acara berprestij itu berjaya menghubungkan impian anak muda daripada seluruh dunia dalam berkongsi idea dan pandangan masing-masing.
Majlis perasmian persidangan itu dihadiri oleh beberapa tetamu kehormat termasuk Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Shamsul Iskandar Md Akin yang turut merasmikan majlis berkenaan.
Selain itu, penaja utama seperti MyCEB, Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia, dan Tourism Malaysia turut hadir memberikan sokongan penting bagi kelancaran acara ini.
Presiden Rangkaian Global Antarabangsa merangkap penganjur AYIMUN, Muhammad Fahrizal berkata, beliau memperkenalkan konsep Model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MUN) kepada perwakilan, menekankan kepentingan penyertaan dalam persidangan ini untuk membangunkan diplomasi dan kemahiran kepimpinan global.
“Ketika kami berkumpul di sini untuk AYIMUN ke-14, kami memulakan lembaran baharu dalam dialog dan kerjasama.
“Matlamat bersama kami adalah untuk memupuk persefahaman dan kerjasama di seluruh negara, dan saya yakin bahawa dengan semangat dan dedikasi anda, kami akan mencapai keputusan yang cemerlang,” katanya.
AYIMUN ialah persidangan tahunan yang menghimpunkan belia dari pelbagai negara untuk menyertai sesi simulasi PBB.
Ia dihadiri oleh barisan perwakilan berumur 17 hingga 25 tahun yang dipilih dari pelbagai negara dan ditugaskan ke negara lain bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai diplomat.
Persidangan ini juga bagi melengkapkan generasi muda dengan kemahiran diplomasi, pemahaman tentang isu global, serta pengalaman berharga dalam berunding dan bekerjasama.
AYIMUN edisi ke-14 membawa tema “Mempercepat Kerjasama Global: Kolaborasi Melangkaui Sempadan”, yang menekankan kepentingan kerjasama global yang melangkaui sempadan untuk menggalakkan pembangunan dan inovasi.
Setiap perwakilan mengambil bahagian dalam perbincangan dan simulasi dengan meneroka cara kerjasama antarabangsa agar dapat menangani cabaran global dengan berkesan.
Kehadiran Elliot Bonfils dari Perancis sebagai setiausaha agung AYIMUN 14, memberikan ucapan yang penuh inspirasi, menonjolkan peranan penting belia dalam diplomasi dan kerjasama global.
Kehadiran beliau memberikan motivasi tambahan kepada semua perwakilan.
Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri Malaysia, Shanmugam Mookan berkata, pihaknya amat menitikberatkan peranan belia dalam kemajuan negara.
“Membangunkan belia adalah sama dengan membangunkan negara kita kerana masa depan kita adalah Anda!
“Dalam Bajet 2023, yang menangani keperluan belia yang merangkumi lebih 28 peratus penduduk, kerajaan telah mencadangkan pelbagai langkah untuk menyokong pembangunan belia,” katanya.
Persidangan ini bukan sahaja memberikan pengalaman dalam bidang pendidikan, tetapi juga pertukaran budaya, memupuk rangkaian dan hubungan persahabatan.
Perwakilan pulang ke tanah air dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang hubungan antarabangsa dan kepentingan kerjasama global.
Kejayaan AYIMUN ke-14 adalah bukti komitmen dan semangat pemimpin muda di seluruh dunia.
Apabila perwakilan kembali ke negara mereka, mereka membawa pengetahuan dan inspirasi untuk memberi kesan positif kepada komuniti mereka dan dunia.