SUBANG JAYA – Memasuki edisi kelima penganjurannya, Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire menobatkan usahawan kecantikan iaitu DASC International Sdn Bhd sebagai juara program berkenaan.
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan anugerah kepada pengasas yang juga pengarah urusan produk Dr Anne Skin Care iaitu Dr Nurhidayah Roslan dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya, baru-baru ini.
Berkongsi perasaannya memenangi program itu, Dr Nurhidayah berkata, dia terharu apabila Tengku Amir Shah melihat potensi produknya yang boleh dibawa keluar negara.
“Selepas ini saya akan mempertingkatkan lagi usaha untuk memastikan produk ini mampu ke peringkat global dan menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya juga menyasarkan untuk membawa jenama produk ini ke Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura,” katanya.
Pada majlis itu, Tengku Amir Shah turut menyampaikan anugerah kepada pemenang tempat kedua, Citra Kesom Sdn Bhd dan Skinny Bakers Group Sdn Bhd (tempat ketiga).
Ketiga-tiga pemenang menerima ganjaran termasuklah tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk promosi dan rundingan perniagaan.
Pemenang juga bakal menerima bimbingan khas, reruai dan sesi rangkaian perniagaan selain berpeluang menjalinkan kolaborasi dengan agensi berkaitan.
Sementara itu, syarikat ubat gigi Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd dan penjual pakaian solat segera, Zaahara Ventures Sdn Bhd dipilih sebagai penerima anugerah khas.
Terdahulu Tengku Amir Shah berkenan mengetuai proses penjurian yang membabitkan 10 peserta akhir bersama beberapa individu lain termasuk EXCO Keusahawanan Najwan Halimi.
SAY Aspire adalah program pembangunan usahawan untuk belia yang berpontensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.
Program yang dianjurkan sejak 2018 itu terbuka kepada syarikat yang beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur antara 18 hingga 40 tahun dan tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.
Untuk tahun ini program yang berlangsung sejak Januari itu membabitkan penyertaan 30 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana sebelum 10 syarikat yang layak terpilih ke peringkat akhir.