KUALA LUMPUR – Sepuluh blok flat empat tingkat Sri Kuching yang pernah digunakan sebagai kuarters tentera kini dibiar sudah 16 tahun, luah penduduk Rumah Pangsa Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Kuching yang terletak bersebelahan.

Setiausaha Kerja Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Awam, Flat PKNS Jalan Kucing, Ridzuan Mohd Ali mempersoalkan kenapa sehingga kini bekas kuaters itu dibiarkan tanpa penjagaan daripada Kementerian Pertahanan.

“Rumah itu ditinggalkan begitu sahaja dan tidak ada orang jaga.

“Sampai sekarang sejak 2008 sudah 16 tahun. Masalah dia sekarang ini, saya rasa benda ini satu pembaziran.

“Baiki rumah dan sudah siap mesti nak duduk. Tetapi tak ada orang duduk. Keluar duit untuk apa,” soalnya.

Menurutnya lagi, beliau dan Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang merupakan Penasihat Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Taman Tasik Titiwangsa (PPPKTT) telah bertemu dengan wakil Kementerian Pertahanan untuk menanyakan berhubung bekas kuaters tentera Flat Sri Kuching yang terbiar.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada jawapan lagi daripada kementerian itu.

“Pada saya bekas kuaters tentera itu boleh disewa kepada anggota tentera yang baru berkahwin atau yang telah berkeluarga.

“Masalah ditinggalkan tanpa jagaan seliaan sehingga hari ini,” katanya.

Leave a Reply