SEPANG – Kriteria kenaikan pangkat di institusi Pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu selari dengan agenda utama penubuhan universiti iaitu melahirkan pelajar dan graduan cemerlang.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkata itu selari dengan lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 iaitu melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.
Beliau berkata, saranan itu dibuat supaya tenaga pengajar atau pensyarah lebih memberi penekanan terhadap kualiti pelajar yang dilahirkan di institusi masing-masing.
“Tiada guna sekiranya seorang pensyarah cemerlang dalam penyelidikan, penulisan jurnal berimpak tinggi dan pelbagai pencapaian peribadi tetapi kualiti pelajarnya tidak mencapai tahap sepatutnya.
“Hal ini penting kerana masa depan negara bergantung kepada generasi muda kita pada hari ini, sekiranya pelajar dan graduan dihasilkan tidak berkualiti, negara akan menerima padahnya,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, disebabkan perkara itu sangat penting, buat julung kalinya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) yang mengumpulkan pemimpin pelajar dari dalam dan luar negara, baru-baru ini.
Katanya, program selama tiga hari itu, dihadiri 1,000 pemimpin pelajar dari 47 buah negara yang menyediakan wahana dan peluang kepada mahasiswa untuk penyerlahan bakat kepimpinan, meningkatkan kualiti keilmuan, mengukuhkan keterampilan dan kemahiran pengucapan awam.
Beliau berkata, pendekatan fokus kepada kualiti graduan itu juga selari dengan lima Fokus Utama KPT bagi Tahun 2024 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang dikongsikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Menurutnya, sudah tiba masa IPT tempatan melihat semula kriteria kenaikan pangkat supaya diberikan keutamaan kepada agenda melahirkan pelajar dan graduan berkualiti sebagai satu daripada ciri-ciri utama.
“Diharap pensyarah menyambut baik hasrat ini bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dengan jiwa dan bukan sekadar mahu menghabiskan silibus yang diajar.
“Kecemerlangan ini tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan daripada tenaga pengajar,” katanya.