KUALA LUMPUR, 2 September 2024 – Bekas Timbalan Menteri, Dato’ Dr. Mashitah, hari ini tampil memperjelaskan dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkaitan isu pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan dirinya oleh pelbagai pihak, termasuk media dari negara jiran. Beliau menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah yang amat dahsyat dan tidak berasas.
Menurut Dato’ Dr. Mashitah, kehadirannya di majlis pecah tanah di Myanmar baru-baru ini adalah semata-mata sebagai tetamu. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak mengenali sesiapa pun yang hadir di majlis tersebut kecuali Dato’ Seri Leong.
Menyentuh mengenai kawalan bersenjata yang dilihat di majlis tersebut, Dato’ Dr. Mashitah menjelaskan bahawa keadaan itu bukan sesuatu yang ganjil memandangkan Myanmar adalah sebuah negara yang diperintah oleh tentera, di mana pengawal bersenjata adalah perkara biasa.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila hanya dengan sekeping gambar, isu ini turut dikaitkan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, gambar beliau bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, juga secara tidak wajar dikaitkan dengan isu ini.
Dato’ Dr. Mashitah turut memetik beberapa laporan media tempatan dan luar negara yang menyiarkan kenyataan tidak tepat mengenai perkara ini.
Beliau menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang tuduhan tidak berasas tanpa bukti yang kukuh.
#DatoDrMashitah #Myanmar #PemerdaganganManusia #Fitnah