Kuala Lumpur, 2 September 2024 – Tan Sri Shafee Abdullah hari ini menegaskan bahawa naratif yang mengaitkan Dato’ Sri Najib Razak dengan Jho Low dalam skandal 1MDB perlu dihentikan segera. Beliau menyatakan bahawa perkembangan terkini di Mahkamah Switzerland telah membuktikan kebenaran apabila dua konco Jho Low, Patrick Mahony dan Tarek Obaid, dijatuhkan hukuman penjara masing-masing 7 dan 6 tahun. Mereka juga diarahkan untuk membayar balik USD 2 bilion kepada 1MDB, jumlah yang telah mereka selewengkan.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Tan Sri Shafee menekankan bahawa fakta penting yang harus diberi perhatian adalah Dato’ Sri Najib tidak pernah dikaitkan atau dituduh bersama dua individu ini. Malah, Mahkamah Switzerland sendiri telah menyatakan bahawa Mahony dan Obaid telah bersekongkol dengan Jho Low untuk menipu seluruh organisasi 1MDB, termasuk Dato’ Sri Najib.

“Kenyataan ini mengesahkan apa yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Ismee Ismail, bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, di mahkamah sebelum ini. Menurutnya, rancangan Patrick Mahony, Tarek Obaid, dan Jho Low adalah untuk menipu Dato’ Sri Najib,” kata Tan Sri Shafee.

Beliau merujuk kepada bukti emel yang dikemukakan dalam mahkamah, yang menunjukkan bahawa Pengarah PetroSaudi International (PSI), Patrick Mahony, telah menghantar emel kepada Ketua Pegawai Eksekutif PSI, Tarek Obaid, dan Jho Low untuk menyelewengkan USD 1 bilion wang 1MDB. Mereka juga merancang untuk menipu Dato’ Sri Najib agar memperuntukkan lagi USD 500 juta kepada PSI.

“Jika Dato’ Sri Najib dan 1MDB sendiri cuba ditipu oleh mereka ini, adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa Dato’ Sri Najib yang sebenarnya merancang untuk menipu 1MDB dan menyelewengkan dana tersebut,” tambah Tan Sri Shafee.

“Kebenaran kini sudah jelas. Masihkah kita mahu mempercayai fitnah yang dilemparkan selama ini?” tanya beliau menutup kenyataannya.

Leave a Reply