Kuala Lumpur, 3 September 2024 – Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar, hari ini mengeluarkan kenyataan balas terhadap gesaan oleh Timbalan Presiden PAS, YB Tuan Ibrahim, yang meminta YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi (DSZH), untuk bercuti.

Menurut Gulam Muszaffar, beliau bersetuju dengan pandangan bahawa YAB DSZH mungkin perlu berehat setelah hampir dua tahun menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri tanpa cuti panjang, kecuali untuk sebab kesihatan dan ibadah umrah. Gulam turut menekankan bahawa beban tugas DSZH sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta Pengerusi kepada 26 Jawatankuasa Kabinet telah memerlukan komitmen dan kesungguhan yang tinggi.

“Pengalaman DSZH sebagai ahli kabinet paling senior menjadikan beliau rujukan utama dalam kerajaan Madani. Kekuatannya di usia emas, yang melebihi 70 tahun, mengatasi ramai pemimpin politik yang lebih muda,” kata Gulam Muszaffar.

Gulam juga menyatakan bahawa gesaan YB Tuan Ibrahim bersifat ‘double standard’ kerana tidak dikenakan kepada pemimpin PAS yang sedang menghadapi tuduhan di mahkamah, seperti Menteri Besar Perlis dan Kedah, yang tidak pula diarahkan untuk bercuti.

“Bila melibatkan pemimpin UMNO, walaupun hanya pada peringkat siasatan tanpa pendakwaan, gesaan untuk bercuti dibuat. Ini mungkin kerana YB Tuan Ibrahim cemburu dengan tenaga dan komitmen YAB DSZH,” tambah beliau.

Justeru, Gulam Muszaffar juga mendoakan kesihatan yang baik untuk YAB DSZH, sambil menekankan pentingnya pemimpin berusia seperti DSZH menjaga kesihatan untuk terus berkhidmat kepada parti dan negara. Beliau turut menyarankan agar Presiden PAS, YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang semakin uzur, serta YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang berdepan dengan kes mahkamah, mengambil masa untuk berehat.

Leave a Reply