Kuala Lumpur, 3 September 2024 – Peminat seni mempertahankan diri di Malaysia bakal disajikan dengan kehadiran seorang legenda sukan, Khabib Nurmagomedov, yang akan membuat penampilan pertamanya di negara ini pada acara Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024 pada 29 September 2024 ini.

Acara ini dianjurkan oleh Faith Events dan akan berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Khabib Nurmagomedov, yang terkenal di seluruh dunia sebagai juara lightweight yang tidak terkalahkan dalam sejarah UFC, memulakan kerjayanya dalam seni mempertahankan diri sejak kecil di bawah bimbingan arwah bapanya. Beliau membuat penampilan sulung dalam UFC pada tahun 2011 dan menamatkan kariernya dengan rekod sempurna 29-0 pada tahun 2021.

Selain kejayaan dalam gelanggang, Khabib juga dikenali sebagai seorang Muslim yang taat dan dermawan, yang sering terlibat dalam kerja-kerja kebajikan.

Pada Julai 2022, Khabib telah dimasukkan ke dalam UFC Hall of Fame sebagai pengiktirafan atas sumbangannya kepada sukan ini.

Acara eksklusif ini akan menampilkan Alif Satar sebagai pengacara manakala bintang MMA tempatan, Johan Ghazali, juga dikenali sebagai Jojo, akan tampil sebagai tetamu istimewa.

Turut disertakan dalam acara ini ialah persembahan Mixed Martial Arts (MMA) yang bertujuan untuk mempromosikan sukan ini serta menggalakkan gaya hidup yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dengan hanya 3,000 tempat duduk yang disediakan, acara ini dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat Khabib dan MMA.

Tiket untuk acara ini dijual pada harga yang bermula dari RM 159.00 sehingga RM 1,699.00, di mana kategori tiket tertinggi termasuk peluang bertemu dan beramah mesra bersama Khabib. Tiket-tiket ini boleh didapati di laman web rasmi, www.khabibmalaysia.com, mulai 28 Ogos 2024.

Selain acara utama, akan ada juga ruang pameran perniagaan dan vendor yang dibuka kepada orang ramai, memberikan peluang kepada peserta untuk menerokai produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan sukan dan gaya hidup sihat.

Menurut wakil dari Faith Events, tujuan utama acara ini adalah untuk memberikan inspirasi kepada masyarakat Malaysia melalui kisah kejayaan Khabib Nurmagomedov, serta untuk mempromosikan sukan MMA di negara ini.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara ini, boleh menghubungi nombor telefon yang disediakan atau mengikuti akaun Instagram @faitheventsmy untuk kemaskini terkini.

Dengan populariti Khabib yang luar biasa dan rekod cemerlangnya dalam sukan MMA, kehadiran beliau di Malaysia pastinya akan menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh semua.

Leave a Reply