Kuala Lumpur, 4 September 2024 — Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap peruntukan sebanyak RM15 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk pasukan bolasepak kebangsaan, Harimau Malaya.
Dana tersebut diumumkan dalam perjumpaan bulanan dengan warga Kementerian Kewangan baru-baru ini dengan tujuan mempertingkatkan prestasi pasukan bola sepak negara.
Gulam menyifatkan peruntukan tersebut sebagai satu langkah yang kurang bijak dan lebih baik disalurkan kepada sukan lain yang lebih memerlukan, seperti sukan Paralimpik.
Beliau berpendapat bahawa dana tersebut akan memberi manfaat yang lebih besar jika digunakan untuk meningkatkan infrastruktur dan pembangunan sukan Paralimpik yang seringkali kekurangan sokongan kewangan.
“Saya tidak bersetuju dengan dana RM15 juta yang diberikan kerana lebih bersifat ‘mencurahkan air ke atas daun keladi’.
Lebih baik dana ini dicurahkan kepada perkara yang lebih bermanfaat seperti membantu meningkatkan infrastruktur dan pembangunan sukan-sukan Paralimpik,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Gulam turut menegaskan bahawa atlet Paralimpik sering terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran kewangan, termasuk kekurangan jurulatih berkualiti tinggi dan peralatan sukan yang mencukupi.
Beliau menyatakan bahawa walaupun Malaysia pernah meraih pingat emas Olimpik melalui atlet Paralimpik, namun golongan ini masih dipinggirkan berbanding atlet-atlet biasa.
“Kita ada banyak bakat dan potensi tetapi terbantut kerana kekurangan dana yang begitu meruncing. Akhirnya, golongan ini lelah dan putus asa untuk berjuang, ada yang kembali menjual tisu di tepi jalan, meminta sedekah dan hidup melarat,” katanya.
Beliau turut mengkritik keadaan semasa dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan Harimau Malaya yang sering dilanda pelbagai kontroversi, termasuk isu pengurusan, campur tangan politik, dan penyalahgunaan dana.
Menurutnya, walaupun peruntukan besar telah diberikan sebelum ini, prestasi pasukan kebangsaan masih tidak memuaskan.
Justeru, Gulam menyeru supaya kerajaan menyalurkan dana tersebut kepada atlet-atlet Paralimpik yang lebih berpotensi untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Beliau menekankan bahawa dunia sukan bukan hanya mengenai kejayaan di atas padang, tetapi juga mengenai kesetiaan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh para atlet.