Statistik menunjukkan 70% belia berumur 15-24 tahun menghidapi sekurang-kurangnya satu risiko penyakit kardiovaskular

KUALA LUMPUR, 3 September 2024 – PruBSN Takaful Berhad (PruBSN) melancarkan pelan takaful komprehensif terbaru mereka, PruBSN AnugerahMax, yang menawarkan perlindungan menyeluruh dengan bayaran bulanan serendah RM50. Pelan ini dirancang untuk memenuhi keperluan kewangan dan perubatan masyarakat yang semakin berkembang, sambil memberikan pilihan perlindungan yang fleksibel dan boleh diubah suai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, PruBSN AnugerahMax membolehkan pelanggan memilih antara 18 jenis rider, termasuk perlindungan penyakit kritikal, kemalangan, peluang pelaburan, dan pilihan kebajikan yang patuh Syariah. Pelan ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan produk terdahulu, PruBSN Anugerah dan PruBSN AnugerahPlus.

“Kami menyedari bahawa statistik penyakit kronik dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda semakin meningkat. Lebih 700 kanak-kanak di bawah 15 tahun menghidap kanser setiap tahun, manakala 70% golongan muda berumur antara 15 hingga 24 tahun di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu risiko penyakit kardiovaskular. Ini menjadikan pelan takaful seperti PruBSN AnugerahMax satu keperluan untuk melindungi masa depan mereka,” kata Wan Saifulrizal.

Tambah beliau, pelan ini turut menawarkan rider Medic TotalCare yang meliputi perlindungan menyeluruh untuk kemasukan hospital, rawatan kanser moden, serta penjagaan kesihatan mental. Rider Crisis TotalCare pula memperluaskan perlindungan kepada 166 penyakit kritikal dari peringkat awal hingga akhir, termasuk beberapa kondisi kesihatan mental.

PruBSN AnugerahMax juga dilengkapi ciri pelanjutan-auto, yang membolehkan perlindungan berterusan sehingga usia 100 tahun tanpa perlu proses pengunderaitan semula. Ini memastikan anak-anak yang dilindungi pelan ini akan terus mendapat manfaat seiring dengan peningkatan usia mereka.

Selain daripada perlindungan kesihatan, pelan ini juga menawarkan ganjaran akademik kepada anak-anak melalui EduAchieve Bonus. Bonus ini diberikan kepada anak-anak yang berprestasi cemerlang dalam peperiksaan, bermula dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke peringkat Sarjana dan PhD, dengan insentif tunai yang boleh dilaburkan untuk pendidikan mereka.

Sehingga kini, lebih 400 individu telah menerima perlindungan daripada produk PruBSN dengan jumlah tuntutan yang dibayar hampir mencecah RM1 bilion.

Pelancaran PruBSN AnugerahMax ini diharapkan dapat menyediakan perlindungan kewangan dan perubatan yang lebih komprehensif kepada lebih ramai rakyat Malaysia, serta membantu mereka menghadapi cabaran kesihatan di masa hadapan.

Leave a Reply