KUALA LUMPUR, 11 September 2024 – Isu persijilan halal kembali mencetuskan polemik di kalangan masyarakat Islam di Malaysia selepas cadangan oleh YB Menteri Agama mengenai mewajibkan sijil halal kepada peniaga-peniaga tertentu mendapat reaksi berbeza.

Isu ini mendapat perhatian apabila Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, mencadangkan bahawa sijil halal hanya digalakkan dan tidak diwajibkan kepada peniaga yang tidak menjual daging khinzir atau alkohol.

Cadangan Datuk Azman Abidin menyatakan bahawa proses mendapatkan sijil halal adalah terlalu rumit, dengan syarat yang ketat serta kos yang tinggi. Namun, kenyataan ini mencetuskan perdebatan di kalangan masyarakat Islam, terutamanya dalam kalangan mereka yang prihatin terhadap keberkatan dan keredhaan ALLAH SWT dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah dalam perniagaan.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim dalam satu kenyataan media menyuarakan pendapatnya yang menolak cadangan untuk “menggalakkan” sijil halal.

Menurut Gulam, sijil halal adalah lebih daripada sekadar memastikan makanan halal. Ia juga melibatkan konsep halalan toyyiban yang mencakupi keseluruhan ekosistem perniagaan yang bersih daripada rasuah, pencatutan, dan ketirisan, seperti yang berlaku dalam kes kantin MRSM Taiping baru-baru ini, yang ditegur oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr. Ashraf Wajdi.

“Kenapa kita tidak boleh melaksanakan arahan yang jelas seperti larangan terhadap judi, zina, dan arak yang dikenakan kepada umat Islam? ALLAH SWT telah memberikan arahan yang tuntas dalam hal ini, dan kita sebagai pemimpin harus memastikan ia dipatuhi,” ujar Datuk Gulam Muszaffar.

Beliau juga menyuarakan kebimbangannya terhadap trend “menormalisasikan” keadaan sedia ada di negara ini, dan memberi amaran bahawa ia boleh mengarah kepada sekularisme.

Beliau menambah bahawa usaha YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi, dalam mempromosikan industri halal di peringkat antarabangsa mungkin akan dipandang rendah jika Malaysia sendiri tidak serius memperkasakan sijil halal dalam negara.

Cadangan untuk menggalakkan sijil halal, menurut Gulam Muszaffar, membuka ruang kepada lebih banyak perdebatan dan kemungkinan untuk melanggar peraturan. “Bayangkan, jika larangan pun dilanggar, bagaimana jika ia hanya digalakkan?” tambahnya.

Pandangan beliau berasaskan pengalaman luasnya dalam sektor perbankan Islam selama 24 tahun, khususnya dalam urusan muamalat.

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab untuk memelihara industri halal yang kukuh terletak di bahu pemerintah dan pemimpin negara demi kesejahteraan masyarakat Islam di Malaysia.

Isu Sijil Halal Terus Diperdebatkan

Isu ini terus menjadi bahan perdebatan di kalangan masyarakat, dengan pelbagai pihak memberikan pandangan mereka. Ada yang bersetuju dengan cadangan Datuk Azman, terutama sekali dari sudut mempermudahkan peniaga kecil, manakala ada yang berpendapat bahawa pematuhan kepada peraturan halal tidak boleh dikompromi.

Dalam situasi di mana isu halal menjadi semakin relevan, Malaysia, sebagai negara yang mempromosikan halal di pentas antarabangsa, harus memastikan bahawa peraturan halal di dalam negara sendiri diperkasakan.

Ini bukan hanya untuk menjaga nama baik negara tetapi juga untuk memastikan keberkatan dan kelangsungan kehidupan Islam di Malaysia.

Leave a Reply