Kuala Lumpur, 16 September 2024 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyuarakan sokongan penuh terhadap keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk menolak draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan Ahli Parlimen antara Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan PN.
PUTRA menyifatkan tindakan PN sebagai langkah tepat demi mempertahankan kepentingan Islam, Melayu, dan Bumiputera seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PUTRA, parti itu menyatakan kebimbangan terhadap kesan MoU tersebut yang dikatakan boleh mengancam hak orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“MoU ini berisiko menjejaskan moral dan tradisi Malaysia, termasuk nilai-nilai agama dan budaya,” tegas kenyataan itu.
PUTRA turut mengkritik syarat-syarat yang dikenakan dalam MoU tersebut, yang menurut mereka akan menghilangkan fungsi sebenar Ahli Parlimen PN untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penggubal undang-undang.
Presiden PUTRA menyifatkan syarat-syarat tersebut sebagai “melampau dan gila,” yang akan menyebabkan Ahli Parlimen PN hilang kebebasan untuk menegur kerajaan dan menjalankan peranan semak dan imbang.
Kenyataan itu juga menuduh PH menggunakan MoU ini untuk “mengancam kelangsungan Islam, Melayu, dan Bumiputera” serta cuba menyamaratakan kedudukan agama Islam dengan agama lain.
PUTRA mempersoalkan konsep MADANI yang dibawa oleh kerajaan PH, menyifatkannya sebagai satu ajaran yang bercanggah dengan prinsip negara.
PUTRA menggesa PN agar segera memberhentikan rundingan dengan PH berkaitan peruntukan tersebut, kerana dianggap menghina dan merendahkan martabat Ahli Parlimen PN.
“Tiada faedah untuk terus berunding dengan puak yang mendokong fahaman liberalisme dan pluralisme yang boleh merosakkan Islam, Melayu, dan Bumiputera,” tambah kenyataan itu.
PUTRA menyeru rakyat, khususnya orang Melayu dan Bumiputera, untuk terus bersatu padu dalam menumbangkan kerajaan PH melalui kaedah demokrasi. Mereka turut memperingatkan supaya PH tidak diberi peluang untuk “mengancam masa depan negara” dan “mewujudkan iklim ketakutan.”
Menurut kenyataan tersebut, penyatuan ummah dan perpaduan Melayu perlu dijadikan asas utama dalam perjuangan menumpaskan PH, terutama dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
PUTRA menegaskan bahawa ini adalah satu-satunya jalan untuk memastikan keselamatan Islam, Melayu, Bumiputera, serta rakyat Malaysia terus terjamin.