SEPANG – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara pilihan utama dalam landskap pendidikan tinggi global apabila sistem pengajiannya diiktiraf luas oleh badan-badan akreditasi antarabangsa.
Pengiktirafan ini menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pengajian, malah berpotensi besar untuk berfungsi sebagai pintu gerbang kepada pendidikan tinggi peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata Malaysia kini dilihat sebagai ‘Global Gateway’ dalam ekosistem pendidikan tinggi, memandangkan semakin ramai pelajar antarabangsa memilih untuk memulakan pengajian ijazah pertama di negara ini sebelum melanjutkan ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di negara-negara seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom.
“Trend ini memperlihatkan betapa tingginya kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem pendidikan tinggi kita.
“Sijil yang diperoleh daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan diiktiraf tanpa keraguan oleh institusi pengajian dan majikan antarabangsa,” katanya selepas menghadiri sesi EU-ASEAN Policy Dialogue on Higher Education di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara, digabungkan dengan kekuatan sistem jaminan kualiti yang diselia oleh MQA, menjadikan negara ini sebagai titik permulaan terbaik bagi pelajar antarabangsa yang bercita-cita membina masa depan akademik dan profesional bertaraf global.

Tambah beliau lagi, usaha memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat tumpuan pendidikan tinggi global adalah sejajar dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pendidikan utama yang progresif dan berdaya saing di mata dunia.
“Graduan kita tidak sahaja berjaya melanjutkan pengajian ke institusi ternama luar negara, malah semakin ramai yang diterima masuk ke pasaran kerja antarabangsa hasil daripada pengiktirafan terhadap kelayakan akademik mereka,” katanya.
Dalam masa yang sama, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar turut menyeru agar institusi pengajian tinggi di seluruh negara mengambil langkah proaktif untuk mempromosikan program akademik masing-masing secara lebih meluas di pentas antarabangsa.
“Penyertaan dalam pameran pendidikan, forum global serta kerjasama rentas sempadan mampu memperluaskan capaian institusi kita dan meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam dunia pendidikan tinggi global,” katanya.
Kejayaan ini turut disumbangkan oleh kerjasama erat antara MQA dan badan-badan akreditasi antarabangsa yang komited memastikan standard pendidikan Malaysia sentiasa setaraf dengan negara-negara maju. Melalui kolaborasi strategik ini, sistem pendidikan tinggi negara mampu mengekalkan kepercayaan komuniti global terhadap kualiti dan kebolehpasaran graduan Malaysia.
Dengan segala kelebihan yang dimiliki, Malaysia kini berada dalam posisi terbaik untuk terus berkembang sebagai hab pendidikan tinggi global menawarkan laluan akademik yang berkualiti dan diiktiraf kepada pelajar dari seluruh pelusuk dunia.