SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan semua program pengajian tinggi yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia hanya akan menerima kelulusan sekiranya memenuhi standard kualiti yang ketat dan menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dakwaan yang mengaitkan kewujudan ‘kursus lelong’ di beberapa institusi pendidikan tinggi adalah tidak berasas.
Beliau berkata, setiap program wajib melalui proses akreditasi yang membabitkan penilaian pelbagai aspek kritikal termasuk kajian pasaran, kebolehpasaran graduan, kelayakan pensyarah serta kesesuaian kurikulum.
“Proses penilaian yang dijalankan oleh MQA bukan sekadar prosedur pentadbiran, tetapi satu mekanisme kawalan kualiti menyeluruh bagi memastikan hanya program berkualiti tinggi diluluskan dan dipantau secara berterusan,” katanya.
Menurutnya, selain aspek kandungan dan pengajaran, tumpuan turut diberikan kepada pencapaian hasil pembelajaran yang dapat melahirkan graduan berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran kerja domestik dan antarabangsa.
Mohammad Shatar berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Memperkasa Kepimpinan 2.0: Kecerdasan Buatan – Era Baharu Kepimpinan, anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, serta Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, semua program yang mendapat akreditasi MQA perlu menjalani proses semakan berkala, biasanya setiap tiga hingga lima tahun.
Bagi program dalam bidang yang pesat berubah seperti teknologi maklumat, semakan boleh dilakukan dalam tempoh lebih singkat bagi memastikan kandungannya kekal relevan dengan kemajuan industri.
“Sekiranya sesebuah program dikenal pasti tidak lagi memenuhi keperluan semasa, pihak universiti boleh mengambil langkah menamatkan atau membekukannya.
“Ini jelas menunjukkan komitmen institusi dan MQA untuk memastikan hanya program yang benar-benar berkualiti ditawarkan kepada pelajar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa persepsi negatif terhadap program pengajian tinggi perlu diperbetulkan, kerana sistem pendidikan tinggi negara mempunyai mekanisme kawalan mutu yang ketat demi melahirkan graduan yang mampu bersaing secara global.