JOHOR BAHRU – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, menyuarakan pendapat mengenai perdebatan politik yang kian panas antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan Pembangkang, khususnya PAS.
Sheikh Umar menegaskan bahawa cabaran PMX Anwar Ibrahim kepada pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya pada sidang Parlimen yang akan datang adalah satu tindakan yang sangat ‘cool’.
Menurutnya, tindakan Anwar adalah pendekatan yang ‘gentleman’ dan selaras dengan Perlembagaan negara. Ini, katanya, menunjukkan keyakinan Anwar dalam menghadapi cabaran politik secara terbuka dan berperlembagaan.
Sebaliknya, Sheikh Umar menyindir tindakan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang didakwanya sebagai ‘tidak cool’.
Merujuk kepada pengakuan Hadi sendiri pada Oktober 2022 bahawa beliau adalah individu yang memulakan langkah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton, Sheikh Umar menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika dan “tebuk atap”.
Tindakan Hadi yang dikatakan menggunakan jalan belakang untuk menjatuhkan kerajaan, menurut beliau, adalah tindakan yang selekeh dan tidak ‘cool’ bagi seorang pemimpin.
Dalam kenyataan balas yang lebih mengejutkan, Sheikh Umar mempersoalkan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mendakwa beliau dan parti tidak mengetahui tentang rancangan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.
Menurut Sheikh Umar, pernyataan ini membingungkan kerana presidennya sendiri mengakui memainkan peranan utama dalam kejatuhan tersebut.
Sheikh Umar bagaimanapun memberi soalan pedas kepada Tuan Ibrahim, “Adakah tindakan Presiden PAS yang menjadi watak utama menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan itu ‘cool’ atau tidak ‘cool’?”
Isu ini terus menarik perhatian masyarakat dan media, sementara sidang Parlimen yang akan datang dijangka menjadi pentas utama untuk perdebatan lanjut antara kerajaan dan pembangkang mengenai undi tidak percaya.