KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2024 – Sesi perdebatan antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dan Lim Sian See (Dato’ Eric See-To) yang berlangsung malam tadi mengundang pelbagai reaksi, terutama berkenaan isu wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (DSN).

Rafizi mengakui dalam sesi tersebut bahawa wang tersebut merupakan derma, namun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak memberi pengecualian cukai ke atasnya, menyebabkan DSN dikenakan cukai sebanyak RM1.6 bilion walaupun wang itu telah dipulangkan.

Kenyataan tersebut menimbulkan tanda tanya dan kritikan kerana ia bercanggah dengan dakwaan Rafizi sebelum ini yang menyatakan wang RM2.6 bilion itu adalah hasil penyelewengan wang 1MDB. Dalam tuduhan awal, Rafizi menyebut bahawa wang tersebut adalah hasil curian yang tidak sah dan di bawah siasatan Anti Money Laundering Act (AMLA).

“Sejak bila wang yang tidak sah boleh dikenakan cukai?” soal beberapa pihak yang menilai percanggahan dalam kenyataan Rafizi.

Kritikan terhadap beliau turut hadir kerana cara penyampaiannya yang dilihat memperlekehkan Dato’ Eric sepanjang perbincangan. Rafizi beberapa kali menuduh Dato’ Eric sebagai tidak bercakap benar dan merendahkan orang Melayu, namun Dato’ Eric tetap tenang tanpa menimbulkan sebarang provokasi.

Pada penghujung perbincangan, Rafizi menghulurkan salam persahabatan, tetapi tindakan ini dilihat sesetengah pihak sebagai tidak tulus kerana perdebatan berlangsung dalam suasana ejekan dan sindiran.

Penganalisis politik melihat tindakan Rafizi sebagai sesuatu yang boleh merosakkan usaha perpaduan, terutamanya apabila UMNO dan Barisan Nasional kini berada dalam gabungan kerajaan perpaduan.

Kebanyakan penyokong UMNO dan BN masih kuat menyokong DSN dan percaya bahawa beliau menjadi mangsa kambing hitam dalam kes 1MDB.

Di sebalik tuduhan yang berterusan terhadap DSN, ramai yang mempersoalkan mengapa individu seperti Jho Low, Patrick Mahoney, dan keluarga Zeti Akhtar Aziz masih bebas tanpa dihadapkan ke muka pengadilan.

Kenyataan ini dijangka mencetuskan lebih banyak perdebatan dalam kalangan pemerhati politik, terutama berkaitan isu 1MDB dan integriti dalam pengurusan kewangan negara.

Leave a Reply