Kuala Lumpur, 12 Oktober 2024 – Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO) hari ini menganjurkan satu Majlis Perbincangan Meja Bulat dan Bengkel Pempengaruh dengan matlamat memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX). Majlis yang berlangsung di ibu kota ini melibatkan pempengaruh digital yang dikenali sebagai penyokong tegar Kerajaan Perpaduan.

Majlis ini bertujuan menyatukan pempengaruh media sosial pro-kerajaan untuk memperkukuhkan suara kolektif dalam mempertahankan dasar-dasar kerajaan, sekali gus melawan penyebaran maklumat palsu yang semakin menular di platform digital. Pempengaruh yang terlibat dalam bengkel ini berperanan penting sebagai penyampai maklumat yang mampu mempengaruhi pendapat awam, terutamanya dalam kalangan pengikut mereka dari pelbagai lapisan masyarakat.

Pengerusi MEMO, Tuan Haji Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, menyatakan bahawa perbincangan dan bengkel ini adalah langkah proaktif untuk memperkasa peranan pempengaruh dalam menangani cabaran yang dihadapi kerajaan, khususnya dari segi persepsi negatif dan ancaman fitnah.

“Kerajaan Perpaduan kini berada di persimpangan kritikal. Peranan pempengaruh sangat penting untuk memperjelaskan dasar dan usaha kerajaan yang sering disalah tafsir atau diputar belit di media sosial. Bengkel ini bertujuan untuk membina satu gerakan kolektif yang bersepadu dan berkesan dalam mendukung kerajaan,” ujar beliau.

Majlis ini turut memberi tumpuan kepada beberapa isu penting seperti meningkatkan kemahiran pempengaruh dalam komunikasi berkesan, membina strategi untuk mengurus persepsi negatif, serta memperkasakan kesedaran tentang hak cipta dan perlindungan harta intelek bagi memastikan kandungan digital yang dihasilkan oleh pempengaruh adalah berkualiti dan berintegriti.

Antara agenda utama bengkel ialah penyediaan modul latihan yang lebih komprehensif bagi meningkatkan keberkesanan mesej yang disampaikan oleh pempengaruh. Bengkel ini juga mencadangkan pembentukan sebuah organisasi khas yang akan berperanan untuk memantau dan membanteras fitnah serta hasutan di media sosial, selain menyelaras tindakan yang lebih bersepadu dalam menangani cabaran ini.

Bengkel yang berlangsung selama sehari ini dijangka akan menghasilkan cadangan-cadangan praktikal bagi memperkasa peranan pempengaruh media sosial dalam menyokong usaha Kerajaan Perpaduan.

Leave a Reply