Kuala Lumpur, 15 Oktober 2024 – Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, dalam sebuah podcast baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi politik. Shamsul mendakwa bahawa beliau ‘merelakan’ kemenangan tipis Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (DSZH) di Parlimen Bagan Datoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bagi memastikan penubuhan kerajaan perpaduan.

Shamsul mendakwa bahawa ketika pengiraan undi sedang berlangsung, terdapat 800 undi rosak yang boleh dikira semula, tetapi beliau menghentikan proses itu selepas mendapat panggilan daripada DSAI. Shamsul mendakwa arahan itu dibuat kerana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mencapai kesepakatan untuk membentuk kerajaan bersama.

Kenyataan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada pihak UMNO, terutamanya dari Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, yang menyifatkan Shamsul sebagai “tersasul” dan mendakwa kenyataan tersebut sebagai tidak masuk akal. Gulam menegaskan bahawa keputusan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bukan berlaku pada malam PRU15 tetapi hanya selepas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 beberapa hari kemudian.

Desakan Letak Jawatan dan Penjelasan PKR

Gulam turut mendesak agar Shamsul melepaskan jawatan sebagai Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri kerana tindakannya telah menjejaskan imej DSAI dan BN. “Tugas beliau seharusnya menjaga kepentingan politik Perdana Menteri, bukan merosakkannya,” tegas Gulam dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, Gulam juga mencadangkan agar kepimpinan tertinggi PKR segera tampil memberikan penjelasan dan menafikan kenyataan Shamsul. Beliau menegaskan bahawa isu ini telah menimbulkan polemik yang bukan sahaja mempengaruhi imej DSAI, tetapi juga mengheret DSZH dan UMNO dalam kontroversi yang tidak sepatutnya.

Kontroversi yang dicetuskan oleh Shamsul ini kini mendapat perhatian ramai, terutamanya menjelang persidangan Dewan Rakyat yang bakal membincangkan beberapa isu penting termasuk masa depan kerajaan perpaduan.

Kenyataan Shamsul Pertikaikan Kuasa YDPA?

Menurut Gulam, kenyataan Shamsul secara tidak langsung juga mempertikaikan kuasa dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik DSAI sebagai Perdana Menteri. Ini kerana persetujuan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dibuat berdasarkan titah YDPA, bukan keputusan peribadi mana-mana pihak pada malam PRU15.

“PKR perlu bertindak segera sebagai ‘anggota bomba’ untuk memadamkan api yang berpunca daripada kenyataan ini sebelum ia menjejaskan lagi imej pemimpin negara,” kata Gulam.

Shamsul belum memberikan sebarang respons terhadap kritikan yang diterima, namun pemerhati politik berpendapat bahawa PKR perlu mengambil langkah drastik untuk meredakan keadaan dan mengelakkan lebih banyak salah faham dalam kalangan penyokong dan rakyat.

Leave a Reply