KUALA LUMPUR – Boleh dikatakan industri perfileman tanah air sudah terlalu banyak dibanjiri dengan naskhah yang bergenre seram, aksi atau komedi.

Agak jarang untuk melihat sesebuah filem tempatan menonjolkan paparan budaya sesebuah masyarakat terutamanya pada masa sekarang, di sebalik jalan cerita yang menyentuh perasaan.

Oleh yang demikian, ia memberikan inspirasi kepada syarikat produksi MyContent Distribution Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Tegkang.

Penerbit Eksekutifnya, Lyn Nasihin berkata, perkataan ‘Tegkang’ diambil daripada bahasa kaum Kelabit di Sarawak yang bermaksud ‘Pelangi’.

“Idea asal jalan cerita filem ini adalah daripada pengarah iaitu Josh Nawan. Sewaktu sesi perbincangan, dia berkongsi konsep dan jalan cerita cukup menambat hati saya.

“Ia bukanlah sekadar sebuah cerita cinta semata-mata, tetapi turut mengangkat tema tentang kasih sayang, kebebasan dan sikap berpegang pada janji,” katanya.

Lyn berkata, filem berkenaan menampilkan barisan pelakon iaitu Syafie Naswip dan Michelle Lungan yang juga seorang pelakon Kelabit kelahiran Sarawak.

Tegkang mengisahkan tentang hubungan antara seorang pelancong, Hanafi (Syafie) dengan seorang gadis tempatan iaitu Rinai (Michelle) yang dibesarkan di sebuah kampung di kawasan pedalaman di Bario, Sarawak.

Bagaimanapun, kehadiran Hanafi ke kampung itu ternyata telah mengubah kehidupan Rinai, yang akan mengakibatkan sebuah rahsia lama yang tersimpan akhirnya terbongkar.

Mengenai keistimewaan filem ini, Lyn berkata, pihaknya menggunakan 99 peratus pelakon tempatan Kelabit dan penggambaran juga hampir keseluruhannya dilakukan di Bario.

“Menariknya tentang Tegkang adalah paparan tentang budaya dan kehidupan masyarakat kaum Kelabit yang jarang diketengahkan dan kurang diketahui masyarakat luar.

“Ia antara kelainan yang cuba ditampilkan memandangkan masyarakat lebih mengenali Sarawak dengan kisah ‘headhunting’ (pemburu kepala) atau Bujang Senang.

“Sedangkan Sarawak cukup kaya dengan pelbagai budaya yang menarik serta tempat-tempat yang cukup indah,” katanya.

Katanya lagi, paling istimewa apabila baru-baru ini Tegkang memenangi Anugerah Juri di Festival Lift-Off yang dihoskan oleh Pinewood Studios UK.

Selain itu, filem ini turut dipilih sebagai Filem Penutup Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2024.

Terbaharu, Tengkang turut menang beberapa kategori seperti Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Filem Cereka Terbaik di acara Borneo Arts And Creative Awards (BACA) 2024 yang berlangsung di Kuching pada September lalu.

“Ini adalah satu penghormatan besar menunjukkan keupayaan filem untuk mendapat tempat dalam kalangan penonton tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Josh selaku pengarah pula memberitahu idea untuk menghasilkan filem berkenaan tercetus berdasarkan pengalamannya sendiri dibesarkan di kawasan pedalaman.

“Sebenarnya, jalan cerita dalam filem Tegkang ini memang ada berkait rapat dengan kisah tentang datuk saudara saya.

“Memandangkan saya membesar dengannya, jadi saya rasa kisahnya itu sangat menarik untuk diolah menjadi sebuah naskhah filem,” katanya.

Mengakui terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran sepanjang penggambaran, Josh menyatakan ia langsung tidak melemahkan semangatnya.

Katanya, untuk menjalani penggambaran di sebuah kawasan pedalaman ternyata bukan suatu perkara yang cukup mudah.

“Pertama sekali adalah dari segi logistik kerana perjalanan untuk ke Bario sahaja mengambil masa selama 15 jam melalui jalan darat dari bandar terdekat.

“Malah, cuaca pula agak sejuk ketika penggambaran sehingga ada beberapa kru yang jatuh sakit. Apapun kami berasa lega kerana semuanya tetap berjalan dengan lancar,” katanya.

Sebagai pengarah, Josh meluahkan harapan agar naskhah sulungnya itu akan mendapat tempat di hati penonton.

“Sudah tentu saya berharap supaya filem ini mendapat sambutan penonton, termasuk di dalam dan luar negara.

“Namun, lebih penting Tegkang mampu menjadi platform untuk orang ramai mengenali lebih dekat tentang Bario dan kaum Kelabit,” katanya.

Filem Tegkang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 28 November depan.

Sinopsis:

Di sebuah kampung pedalaman yang damai, satu rahsia yang tersimpan rapi terbongkar secara tidak sengaja sehingga mencetuskan sebuah kisah cinta yang akan menguji ikatan seluruh komuniti.

Tegkang meneroka kehidupan di sebuah kampung terpencil di Bario, di mana rahsia yang sudah lama tersimpan mula terdedah dengan kehadiran pelancong iaitu Hanafi (Syafie

Naswip) yang berkawan dengan Rinai, seorang gadis yang menetap di kampung berkenaan.

By Cynthia

Leave a Reply