KUALA LUMPUR, 7 November 2024 – Majlis Sentuhan Kasih Madani anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini berjaya menghimpunkan para penggiat seni yang terbabit dalam isu tunggakan bayaran royalti. Majlis ini juga menjadi platform bagi membincangkan usaha penambahbaikan dan perancangan pelaksanaan garis panduan baharu untuk Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) bermula April 2025.

Antara isu utama yang diketengahkan adalah tunggakan bayaran royalti kepada ahli-ahli Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM), yang sebelum ini bertanggungjawab dalam menguruskan kutipan dan pengagihan royalti sebelum statusnya sebagai CMO dibatalkan pada 2019. Susulan pembatalan ini, sebanyak RM2,040,846.84 hasil royalti yang dikumpul untuk tahun 2018 telah tersedia untuk diagihkan kepada 495 ahli yang layak. Namun, sebanyak RM339,058.57 daripada jumlah ini masih belum dituntut oleh 164 penggiat seni.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, KPDN dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menerima banyak aduan berkenaan tadbir urus CMO, agihan royalti yang terlalu rendah, serta kadar tarif yang tidak seragam. Situasi ini mencetuskan cadangan untuk menubuhkan satu badan kutipan tunggal yang akan berfungsi dengan lebih efisien, sekali gus berupaya menyelesaikan isu yang berpanjangan.

Dalam usaha menangani isu ini, KPDN bakal memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasian CMO pada April 2025. Garis panduan ini dijangka memberi kuasa kepada MyIPO untuk mengawasi dan mengawal selia pengurusan kutipan dan agihan royalti oleh CMO. Dengan langkah ini, ketelusan dan akauntabiliti dalam proses pengurusan royalti dijangka meningkat, memastikan hak dan kebajikan penggiat seni dan pengguna dilindungi secara optimum.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memperkemas undang-undang hak cipta dan dasar-dasar berkaitan bagi memelihara kepentingan penggiat seni, pemilik, pencipta, dan pengguna. “KPDN komited untuk terus membangunkan ekosistem perlindungan harta intelek di Malaysia yang bukan sahaja menjaga hak penggiat seni tetapi juga memajukan industri seni tanah air secara keseluruhan,” jelasnya.

Majlis yang diadakan ini turut membincangkan isu kegagalan beberapa penggiat seni untuk menuntut royalti mereka. Daripada 164 individu yang masih belum menuntut hak mereka, hanya 24 orang telah mengemukakan maklumat terkini kepada KPDN dan MyIPO untuk proses pembayaran. Kekurangan kesedaran atau minat daripada beberapa penggiat seni terhadap tuntutan royalti mereka turut dikenal pasti sebagai satu cabaran yang perlu diatasi.

Dalam sesi perbincangan, KPDN menekankan kepentingan mewujudkan task force untuk menangani isu ini secara menyeluruh. Kumpulan ini akan bertindak dalam memperkemaskan prosedur dan menyelesaikan isu tuntutan royalti bagi memastikan penggiat seni mendapat bayaran yang sewajarnya. Dalam tempoh dua minggu akan datang, sebanyak RM300,000 akan diagihkan kepada 25 penggiat seni yang telah menyelesaikan dokumen tuntutan, dengan jumlah tertinggi mencecah RM13,000 bagi seorang penggiat seni.

KPDN juga sedang mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan berkenaan penambahbaikan CMO dan akta berkaitan. Sebagai salah satu langkah jangka panjang, pihak kementerian turut mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan konsep 1CMO, iaitu satu badan tunggal yang akan menguruskan pengutipan dan pengagihan royalti bagi kesemua karya hak cipta muzik di Malaysia.

Bagi memastikan sistem agihan royalti yang lebih adil dan saksama, KPDN bertekad untuk menambah baik dan mengemaskini Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) selaras dengan perkembangan semasa. Datuk Armizan menegaskan bahawa usaha ini penting bagi memperkukuhkan hak cipta serta kebajikan penggiat seni dalam industri muzik tanah air.

Leave a Reply