
KUALA LUMPUR, 3 Disember 2025 – Setiausaha Agung Malaysia International Humanitarian Organization (MHO), Datuk Hishamudin Hashim, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak berkuasa yang mengklasifikasikan banyak laporan berkaitan kegiatan Ahlong sebagai No Further Action (NFA), meskipun kes-kes tersebut jelas mengandungi unsur jenayah serius.
Menurut beliau, keputusan NFA ini memberi mesej yang salah dan hanya membuka ruang lebih besar kepada sindiket Ahlong untuk terus menindas mangsa.
“Kami amat kecewa. Banyak laporan yang mempunyai bukti ugutan, pembakaran rumah, serangan, penyebaran data peribadi dan penggunaan akaun keldai — tetapi tetap ditutup sebagai NFA,” tegasnya.

Beliau menekankan bahawa kempen “Stop Bayar Ahlong” akan diteruskan kerana bayaran mangsa hanya mengukuhkan lagi kegiatan haram tersebut.
Tujuh Peruntukan Undang-Undang Boleh Digunakan
Hishamudin menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya tujuh peruntukan undang-undang boleh digunakan untuk menyiasat dan mendakwa Ahlong, merangkumi:
Kesalahan pemberi pinjam wang tidak berlesen.
Penggunaan akaun keldai.
Ugutan jenayah.
Penyebaran data peribadi.
Gangguan kediaman.
Perbuatan khianat.
Ancaman keselamatan terhadap mangsa dan keluarga.
Namun, beliau kesal apabila mangsa yang rumahnya dibakar, diugut, kehilangan pekerjaan, serta hidup keluarga yang berpecah-belah masih menerima keputusan sama — laporan ditutup tanpa tindakan.
“Ada mangsa diminta berunding kembali dengan Ahlong. Ini amat tidak masuk akal dan membahayakan keselamatan mereka,” ujarnya lagi.
MHO Sedia Anjur Perhimpunan Aman
Sekiranya situasi NFA ini berterusan, MHO bersama para mangsa merancang untuk mengadakan perhimpunan aman di hadapan IPD, IPK, Bukit Aman, dan jika perlu – di Jabatan Peguam Negara bagi menuntut tindakan yang lebih tegas, teratur dan berkesan terhadap sindiket tersebut.
Sidang media pagi tadi di Ibu Pejabat MHO turut dihadiri beberapa mangsa yang kes mereka turut diklasifikasikan sebagai NFA.
#StopBayarAhlong #KeadilanUntukMangsa #HapusAhlong #MHO #JenayahAhlong #NFAIsNotJustice #LindungiRakyat #TegakkanUndangUndang #AhlongMenindas #AATVNews