KUALA LUMPUR, 3 Disember 2025 — Seorang buruh berusia 54 tahun, Murugaya a/l Nadisen, tampil bersama aktivis sosial Dato’ Dr. Kalaivanar bagi mendedahkan kehilangan RM98,300 akibat ditipu seorang individu yang didakwa menyamar sebagai ‘guru motivasi’ dan menggunakan nama pelaburan MBI (Mobility Beyond Imagination) sebagai umpan.
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, mangsa yang bekerja sebagai buruh kayu balak itu telah menjual semua barangan kemas peninggalan isterinya — termasuk rantai emas — untuk melabur, selepas diyakinkan suspek bahawa pelaburan tersebut mampu memberi pulangan besar.
Namun, wang berkenaan tidak pernah dimasukkan ke dalam syarikat MLM atau MBI, sebaliknya dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi individu bernama Kalidasan Nagappan, yang kini aktif sebagai ‘sami motivasi’ di TikTok.
“Ini bukan sekadar pelaburan gagal. Ini penipuan terancang. Duit orang miskin diambil, bukan orang kaya,” tegas beliau.
Mengumpul Lebih Banyak Mangsa, Siasatan Polis Dimulakan
Dato’ Dr. Kalaivanar mendedahkan bahawa ramai lagi mangsa telah tampil, termasuk kumpulan di Mentakab yang dipercayai mengalami kerugian mencecah RM2 juta. Malah, terdapat ejen bernama Viswa yang bertindak mengumpul wang bagi pihak suspek.
“Mangsa percaya kerana dia [suspek] menggunakan imej agama, berpakaian seperti sami, memakai tangkal dan tasbih. Semua ini hanya topeng,” jelas Dr. Kalaivanar.
Satu laporan polis telah pun dibuat, dan Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara akan mengumpulkan lebih ramai mangsa sebelum menyerahkan memorandum rasmi kepada Ketua Polis Negara dalam tempoh dua minggu.
Suspek Aktif di TikTok, Mencari Mangsa Baharu
Wartawan turut mengesahkan bahawa suspek masih aktif di TikTok dengan identiti dan imej yang sama, seolah-olah tidak gentar dengan kes-kes yang sedang dilaporkan.
“Dia cool sahaja, langsung tak rasa bersalah. Masih mencari mangsa baharu,” kata Dr. Kalaivanar.
Beliau turut menasihati orang ramai, khususnya komuniti India, supaya mengelakkan pelaburan melalui mana-mana ‘sami’ atau individu yang mendakwa mempunyai kuasa mistik.
Nasihat Kepada Orang Ramai
Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan:
“Kalau mahu melabur, pergilah ke bank atau institusi yang sah. Malaysia ada undang-undang, ada sistem. Jangan percaya kepada sindiket yang guna agama sebagai umpan.”
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara di talian 011-2113 1488.
#ScamAlertMalaysia #KesanScam #SekretariatBahanaKesetiaanNegara #MBIScam #KeadilanUntukMangsa #HentikanPenipuan #TikTokScammer #MangsaPenipuan #AATVNews #PelaburanSelamat