Kuala Lumpur, 19 November 2024 – Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali mencuri tumpuan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pengiktirafan UEC bukanlah keutamaan. Kenyataan ini diharap dapat mengukuhkan pendirian kerajaan dalam mempertahankan kepentingan pendidikan nasional dan perpaduan kaum.
Menurut Haji Nasir Othman, Pengerusi Biro Pendidikan Negara merangkap Ahli Dewan Tertinggi Parti Putra, isu ini lebih mencerminkan permainan politik dan ego budaya sesetengah pihak yang merasa telah menguasai ekonomi dan politik negara. “Mereka dibentengi dan mendapat sokongan politik liberal dalam kalangan orang Melayu, menjadikan mereka semakin kukuh dan angkuh,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa terdapat segelintir pihak yang begitu lantang mempertahankan pendidikan berasaskan kaum tetapi tidak menyokong Sistem Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan. “Penolakan UEC bukan soal perkauman tetapi soal kepentingan pendidikan nasional. Sistem ini tidak memenuhi kriteria kepentingan nasional yang ditetapkan,” tambahnya.
Dalam pada itu, walaupun KPM tidak mengiktiraf UEC, institusi pendidikan di bawah kementerian, seperti Institut Pendidikan Guru (IPG), tetap menerima pendidikan bahasa Cina. Namun, katanya, asas perjuangan sesetengah pihak lebih tertumpu kepada dominasi budaya dan bahasa tertentu, yang dilihat sebagai ancaman kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Pendidikan berteraskan Mandarin menjadi keutamaan mereka, sebagai persediaan asas apabila mereka berjaya menguasai negara ini sepenuhnya. Mereka tidak selesa dengan falsafah pendidikan negara yang menggunakan Bahasa Melayu,” ujar Haji Nasir.
Cadangan KPM untuk menambah baik penggunaan Bahasa Melayu di sekolah vernakular juga mendapat tentangan kuat daripada pertubuhan proksi Cina, yang didakwa tidak menyenangi usaha tersebut. Menurut beliau, sejarah membuktikan sekolah vernakular asalnya ditubuhkan sebagai persediaan pendidikan untuk anak-anak yang bercadang kembali ke negara asal. Namun kini, sistem itu dilihat menyumbang kepada perpecahan dalam kalangan rakyat.
Haji Nasir turut menyatakan bahawa perpaduan kaum semakin luntur, dan salah satu puncanya ialah segregasi dalam sistem pendidikan antara sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular. Beliau berpendapat, langkah memupuk perpaduan kaum secara praktikal dan efektif harus bermula di peringkat sekolah rendah.
“Apabila sejak kecil sudah dipisahkan mengikut aliran sekolah kebangsaan atau vernakular, agak sukar untuk memupuk perpaduan di peringkat awal. Pendidikan seharusnya menjadi alat perpaduan, bukan pemisah,” katanya.
Sebagai langkah ke hadapan, Haji Nasir menggesa semua pihak untuk melihat kepentingan nasional secara menyeluruh dan memberikan sokongan penuh kepada usaha kerajaan dalam memperkukuh Sistem Pendidikan Kebangsaan. “Malaysia memerlukan sistem pendidikan yang bersatu, tanpa dibelenggu oleh segregasi kaum. Hanya dengan itu perpaduan sejati dapat dicapai,” tegasnya.