KUALA LUMPUR – Festival Gebyar Nusantara 2024 yang berlangsung hujung minggu lalu tidak sekadar menjadi platform promosi dan mengeratkan hubungan Indonesia serta Malaysia, malah turut meraikan persahabatan insan seni antara dua negara serumpun.
Festival anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur itu disifatkan penyanyi yang sedang meningkat populariti di negara ini, Allen Anderson sebagai platform penting yang mendekatkannya lagi dengan peminat di sini.
Jejaka kelahiran Tahuna, Sulawesi Utara itu berkata, penerimaan ramai terhadap kemunculannya di negara ini membuatkan dia semakin yakin mengatur langkah untuk terus memperkenalkan bakatnya.
Allan yang popular dengan lagu Rindu dan Ku Mau Bahagia Juga menyifatkan peluang yang diberikan penganjur adalah kesempatan terbaik untuk berkongsi bakat dan kecintaannya terhadap muzik dengan peminat di Malaysia.
“Sebelum ini, saya lebih banyak tertumpu pada persembahan tertutup dan hanya dihadiri sejumlah kecil peminat.
“Apabila dapat beraksi di pentas terbuka seperti Gebyar Nusantara 2024, saya berusaha memberikan yang terbaik kerana setiap panggung memberikan pengalaman berbeza.
“Sebagai penyanyi, saya perlu melunaskan tanggungjawab dengan baik kerana undangan diberikan adalah penghargaan daripada mereka yang mempercayai bakat saya,” katanya.
Selain Allan, festival dua hari yang berlangsung pada 30 November dan 1 Disember lalu itu turut menampilkan bakat tempatan seperti Erul Samah, JZ Vibes, selain persembahan galau yang dijayakan dua band iaitu Kureiji dan Patriots yang mengalunkan lagu-lagu popular Indonesia.
Lebih istimewa, pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan bintang utama drama horror Indonesia, Zona Merah iaitu Devano Danendra, Maria Theodore dan Andri Mashadi pada festival yang diadakan di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai penganjuran Gebyar Nusantara 2024, Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono berkata, acara terbabit selain mempromosikan Indonesia menerusi pelancongan, makanan, kesenian dan ekonomi kreatif, ia juga mengeratkan hubungan dua negara menerusi ikatan budaya.
Kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan turut menjadikan penganjuran festival itu lebih bermakna, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama dalam mempromosikan destinasi pelancongan serantau.
Khairul Firdaus dalam ucapannya berkata, acara yang julung kali diadakan di Malaysia itu bukan sahaja mempamerkan keindahan budaya Indonesia, tetapi juga membuka peluang untuk meneroka potensi kerjasama dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.
“Perkongsian budaya, sejarah, dan warisan yang unik antara kedua-dua negara menjadi asas kukuh untuk kerjasama dalam mempromosikan destinasi pelancongan serantau.
“Semoga Gebyar Nusantara 2024 menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama dalam sektor pelancongan, seni dan budaya antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Gebyar Nusantara 2024 adalah festival diplomasi ekonomi mempromosikan kulinari, pelancongan, seni dan ekonomi kreatif Indonesia kepada masyarakat serta pasaran Malaysia.
Festival itu memberikan pengalaman unik kepada pengunjung untuk meneroka destinasi pelancongan mengagumkan, menikmati hidangan autentik Nusantara dan hiburan penuh warna dari Indonesia di bawah satu bumbung.
Suasana festival turut dihangatkan dengan persembahan aneka tarian Jakarta dan Gambang Kromong dari Disparekraf DKI Jakarta serta penampilan variasi tari Nusantara daripada penuntut Sekolah Indonesia Kuala Lumpur.
“Insya-Allah dengan minat yang besar daripada masyarakat, saya rasa tahun depan kita boleh anjurkan acara lebih besar lagi,” kata Indera Hermono.