PETALING JAYA – Menghimpunkan pempengaruh terbaik dari sembilan negara di Asia termasuk Malaysia, Anugerah All Star Influencers (ASIA) 2024 bakal menjadi pentas berprestij yang mengiktiraf mereka di samping menjadi medan mempromosi pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihak kementerian juga sedar dan berusaha menggunakan khidmat pempengaruh sebagai usaha menarik minat generasi muda dalam serta luar negara selain platform media sosial.

“Kita akui, di era serba moden ini, selain media sosial,  pempengaruh juga adalah satu platform mustahak untuk kita.

“Dalam mempromosi pelancongan, kita gunakan semua platform media sosial kerana sedar kepentingannya.

“Dengan ini kita boleh berkongsi destinasi pelancongan menarik dalam negara menerusi gambar dan video. Ini adalah platform utama untuk sektor pelancongan selain media arus perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Makan Malam All Star Influencer Award (ASIA) 2024, semalam.

Turut hadir Penganjur ASIA2024, Datuk Abd Rahman Soltan dan 60 pempengaruh dari sembilan negara antaranya Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Taiwan, Korea Selatan dan China.

Mengulas mengenai penganjuran ASIA2024, King Sing berkata, kehadiran 60 pempengaruh dari sembilan negara yang menyokong anugerah berkenaan dilihat sebagai usaha baik dalam mempromosikan negara.

“Terima kasih kepada ASIA2024 dan pempengaruh yang hadir, mereka bukan sahaja membantu mempromosikan acara anugerah ini, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan.

“Ini selaras dengan usaha kita menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Kehadiran mereka memberikan impak besar dengan menonjolkan keindahan dan keunikan negara kepada global menerusi media sosial.

“Kandungan kreatif yang dihasilkan oleh pempengaruh memberikan dimensi baharu kepada strategi pemasaran pelancongan, membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih menarik, pantas dan relevan,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahman Soltan berkata, anugerah ini menghimpunkan bakat dan pengaruh digital dari pelbagai latar belakang budaya, dengan tujuan untuk meraikan serta memberi penghargaan kepada individu yang membawa impak positif dalam dunia digital Malaysia dan antarabangsa.

“Dengan lebih 300 juta pengikut di seluruh Asia, ASIA 2024 bukan sekadar acara sambutan, tetapi adalah sebahagian daripada visi besar untuk menghubungkan Asia melalui pengaruh digital.

“Kami membina rangkaian pengaruh yang dapat melahirkan inspirasi, membina kreativiti dan mempereratkan hubungan antara budaya.

“Misi utama adalah menyediakan platform memanfaatkan kekuatan media sosial dalam membawa perubahan positif di peringkat antarabangsa,” katanya.

pempengaruh yang tercalon bakal berentap dalam 13 kategori yang dipertandingkan.

Selain malam gala penganugerahan, peserta yang terdiri daripada pempengaruh dengan jutaan pengikut bakal menjalani aktiviti seni dan budaya selama tiga hari di Melaka.

Anugerah yang memasuki edisi kedua tahun ini juga selari dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2024, iaitu menonjolkan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia kepada seluruh Asia.

Untuk info, ASIA edisi pertama yang berlangsung tahun lalu mengiktiraf pempengaruh terkenal Indonesia, Ahieb Reborn yang berjaya menggondol anugerah utama sebagai Pempengaruh Media Sosial Terbaik.

Dengan kemenangan itu, Ahieb berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah USD10,000 (RM47,300) berserta trofi.

Sementara itu kategori Suntingan Terbaik dimenangi Hermansyah dari Indonesia yang membawa pulang hadiah wang tunai USD3,000 (RM14,200) beserta trofi, manakala kategori Penyampai Cerita Terbaik USD1,000 (RM4,730) dimenangi Tikaolaa (Indonesia), dan trofi Pilihan Orang Ramai dibawa pulang oleh Syellaisk (Indonesia) bersama wang tunai USD1,000 (RM4,730).

Lebih membanggakan, tanda pagar #AllStarInfluencerAward2023 berjaya mendapat lebih 205 juta capaian di aplikasi Tiktok dan tular di pelbagai platform media sosial dalam tempoh satu tahun sahaja.

By Cynthia

Leave a Reply