KUALA LUMPUR – Diarak masuk ke perkarangan Stadium Merdeka dengan menaiki kereta GTR, kehadiran biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika semenangnya begitu dinantikan.
Lebih 24,000 penonton menjadi saksi menyaksikan Konsert ‘The Journey of Sound: Datuk Seri Siti Nurhaliza & Judika’ yang pertama kali menggabungkan mereka berdua begitu meriah dan menghiburkan.
Masing-masing hadir mengikut tema yang diberi iaitu “putih dan denim.”
Konsert berskala besar itu menyajikan lebih 30 buah lagu secara solo dan duet bersama Judika termasuk rangkaian medley lagu hits mereka.
Sebelum hadir membuat kejutan menaiki kereta, penonton dihiburkan dengan persembahan solo daripada Faizal Tahir yang mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Mahakarya Cinta, Sampai Syurga dan Santai.
Siti Nurhaliza dan Judika tampil ke pentas dengan mempersembahkan lagu duet popular mereka Kisah Ku Inginkan.
Antara lagu lain yang dipersembahkan ialah Aku Cinta Padamu, Kesilapanku Keegoanmu, Hati Kama, Seindah Biasa, Hati Yang Tersakiti, dan Hal Hebat, selain irama rancak seperti Nirmala dan Balqis.
Judika memulakan persembahan solo dengan himpuan lagu popularnya seperti Mama Papa Larang, Bukan Rayuan Gombal, Aku Yang Tersakiti dan banyak lagi.
Meluahkan perasaan teruja, Judika mengakui tidak menyangka dapat berkongsi pentas bersama Siti malahan turut mengadakan konsert di Kuala Lumpur bersama-sama buat pertama kalinya.
Tidak sekadar menghiburkan penonton, persembahan mereka diserikan dengan pertunjukan bunga api dan pencahayaan daripada Menara Merdeka 118, memberikan pengalaman yang tidak terlupakan kepada penonton.
Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa teruja melihat sambutan peminat dan memberi bayangan akan menganjurkan konsert solo berirama Malaysia pada tahun hadapan.