KUALA LUMPUR, 30 Disember 2024 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, mempertikaikan keikhlasan PAS, Bersatu, dan NGO Muafakat Nasional (MN) yang kini tampil lantang menyatakan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes rayuannya di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan pada 6 Januari 2025.
Gulam yang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan turut mempersoalkan perubahan sikap mendadak parti-parti dan NGO tersebut, menyifatkan tindakan mereka sebagai strategi “cencaru makan petang” — muncul di saat akhir untuk meraih keuntungan politik. Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, segelintir daripada mereka secara terang-terangan mendukung usaha memenjarakan Najib, tetapi kini mendakwa mereka adalah pejuang terawal membela bekas Perdana Menteri itu.
“Ketika kes Bossku mula dibicarakan, mereka memilih untuk menjauhkan diri. Namun sekarang, skripnya berubah. Ibarat ingin mendompleng kejayaan atas usaha UMNO, sedangkan YAB Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah individu pertama yang mengemukakan afidavit sokongan, diikuti oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya dalam satu kenyataan.
Gulam turut mendakwa mereka sebenarnya tidak peduli terhadap keadilan kes Najib tetapi lebih berminat mengeksploitasi situasi ini untuk kepentingan politik. Najib, menurut beliau, kekal sebagai figura politik yang kuat di hati rakyat, dan sokongan mereka kini dilihat hanya sebagai cara untuk melobi sokongan popular.
Beliau juga mempersoalkan naratif-naratif seperti “solidariti Najib” dan “gencatan senjata PAS-UMNO” yang diketengahkan oleh pihak-pihak ini, menyifatkannya sebagai agenda tersirat yang penuh kepura-puraan. Sejarah politik, kata Gulam, membuktikan bahawa mereka pernah menggantung parlimen semasa krisis COVID-19, yang merencatkan amalan demokrasi negara.
“Saya tidak menolak sokongan mereka kepada Najib, tetapi mengapa baru sekarang? Semuanya kelihatan seperti agenda untuk menunggang kes Bossku demi keuntungan politik. Keikhlasan mereka amat diragui,” tegasnya.
Beliau menyeru agar pihak-pihak berkenaan berhenti menggunakan kes Najib sebagai alat politik, sebaliknya berusaha secara jujur untuk menegakkan keadilan tanpa sebarang kepentingan peribadi.
Ini mencerminkan pendirian UMNO Bahagian Batu terhadap isu sokongan politik yang dilihat oportunis, sekaligus menyeru kepada keikhlasan dan keadilan dalam perjuangan.