KUALA LUMPUR, 28 Disember 2024 – Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 28 Disember 2024 dikritik sebagai tidak sesuai dari segi masa, terutama kerana ia dibuat menjelang penghakiman penting oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari.
Peguam Dato’ Kamarudin Ahmad menyatakan bahawa tindakan tersebut boleh memberi kesan kepada persepsi umum terhadap proses perundangan yang sedang berjalan.
“Kenyataan ini menyentuh isu permohonan tahanan di rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang masih perlu melalui proses di lembaga pengampunan,” kata beliau ketika ditemubual Wartawan AATV
Tambahnya, langkah ini dilihat mendahului keputusan Mahkamah Rayuan yang bakal menjadi penentu kepada perjalanan kes seterusnya.
Menurut Dato’ Kamarudin, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa perkara ini telah pun dibangkitkan sebelum ini melalui affidavit oleh anak Najib, Dato’ Nizar Najib. “Rekod tersebut memberikan konteks kepada perbincangan mengenai addendum berkaitan permohonan tersebut,” jelas beliau.
Namun, beliau menekankan bahawa adalah lebih wajar untuk semua pihak menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau kesimpulan. “Keputusan mahkamah adalah tonggak utama kepada sistem keadilan. Sebarang tindakan yang kelihatan mendahului keputusan mahkamah boleh mencetuskan salah faham di kalangan masyarakat,” katanya.
Dato’ Kamarudin turut menegaskan bahawa setiap tindakan dalam kes Najib ini perlu dilakukan dengan berhati-hati, supaya tidak menjejaskan keyakinan terhadap institusi perundangan negara. “Kita mesti mengelak daripada memberi gambaran bahawa ada campur tangan atau tekanan dalam kes ini,” tambahnya.
Penghakiman Mahkamah Rayuan pada awal Januari ini dijangka menarik perhatian ramai, memandangkan ia berkait rapat dengan permohonan tahanan di rumah yang dibuat bagi Najib. Proses ini melibatkan pelbagai peringkat kelulusan, termasuk keputusan lembaga pengampunan.
Kes ini, yang menjadi perhatian nasional, terus menjadi isu sensitif dalam arena politik dan undang-undang. Sehubungan itu, Dato’ Kamarudin menyeru agar semua pihak menghormati proses perundangan dan mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan keadilan.
Mahkamah Rayuan akan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kes ini, dan masyarakat berharap agar sistem keadilan dapat berfungsi tanpa gangguan atau tekanan.