PETALING JAYA – Meraikan sambutan Tahun Baru Cina, seramai 13 orang influencer berkumpul di Rumah Anak Yatim dan OKU Mesra, Petaling Jaya, bagi menjayakan program amal anjuran ASIA Influencer Stars.
Acara ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan penglibatan influencer dalam dunia kebajikan, tetapi juga memperkukuhkan peranan mereka dalam memberi impak positif kepada masyarakat melalui tindakan sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Dato’ Abd. Rahman Soltan berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperlihatkan influencer sebagai agen perubahan yang turut memainkan peranan penting dalam kegiatan kebajikan.
Menurutnya, dengan pengaruh yang dimiliki, influencer mampu mendorong pengikut mereka untuk turut serta dalam aktiviti sosial dan membantu golongan yang memerlukan.
“Kami ingin mengubah persepsi bahawa influencer hanya menghasilkan kandungan hiburan semata-mata.
“Sebaliknya, mereka juga turut memberikan sumbangan besar kepada masyarakat,” katanya.
Pada program amal itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan harian, dan makanan kepada penghuni rumah anak yatim dan OKU.
Selain daripada sumbangan material, acara ini juga memberikan ruang kepada influencer yang hadir untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti yang mereka bantu disamping mempereratkan lagi hubungan mereka dengan masyarakat.
Lebih menarik, program amal ini turut merangkumi pelbagai aktiviti sosial lain seperti pertandingan e-sports, futsal, dan sesi memasak yang menggalakkan kerjasama dalam kalangan influencer.
Aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada mereka untuk bertukar idea, belajar bersama, dan menghasilkan kandungan yang lebih bermakna untuk pengikut masing-masing.
Salah seorang selebriti yang terbabit, Harissa Adlynn berkata, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan aktiviti kebajikan.
“Sejak kecil saya sudah didedahkan dengan kerja amal oleh ibu bapa dan saya anggap kerja kebajikan ini bukan sekadar memberi bantuan, tetapi juga sebagai satu bentuk pembelajaran hidup.
“Kebajikan adalah cara untuk memberi kembali kepada masyarakat. Ia juga menanamkan nilai kasih sayang dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan,” katanya.
Harissa berkata, dia berterima kasih kepada penganjur yang sentiasa memberi peluang kepada anak muda untuk terbabit dalam program kebajikan.
Malah, dia sendiri juga aktif bekerjasama dengan NGO seperti Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) yang membantu warga tua dan pelarian dari negara-negara bergolak seperti Syria dan Palestin.
Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Harissa tetap mencari ruang untuk memberikan sumbangan.
Program amal yang dianjurkan oleh ASIA ini bukanlah sekadar inisiatif sekali, tetapi usaha berterusan untuk mengangkat peranan influencer sebagai agen perubahan dalam masyarakat.
Dengan sokongan daripada NGO dan komuniti, penganjur berharap lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Dengan kesedaran dan usaha berterusan, influencer dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat dan industri tempatan.