KUALA LUMPUR – Filem Dajal: Satu Malam diPedajal adalah sebuah karya thriller yang sepenuhnya ditulis oleh Pierre Andre, yang sekali lagi membuktikan kekuatan dan kebolehannya dalam menghasilkan naskhah yang penuh dengan kejutan.
Filem ini menawarkan sesuatu yang baru dan segar bagi penonton, memperkenalkan genre thriller yang pertama kali diterbitkan oleh Metrowealth.
Pierre Andre, pengarah terkenal di sebalik kejayaan filem Jangan Pandang Belakang, membawa penonton mengharungi perjalanan penuh misteri dalam filem terbaru arahannya ini.
Pierre mendedahkan, Dajal hanyalah permulaan kepada sebuah kisah yang lebih besar dan mendalam.

“Saya sengaja meninggalkan beberapa persoalan yang tidak terjawab dalam filem ini, seperti siapa yang mati, siapa sebenarnya mereka bertiga, dan mengapa mereka berada di rumah itu.
“Semua ini akan terjawab dalam prekuel atau sekuel filem ini nanti, Insya-Allah, jika ada rezeki,” kata Pierre.
Pierre berkata, filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga direka untuk membangkitkan rasa ingin tahu dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Pierre percaya banyak elemen dalam cerita ini masih belum diterokai sepenuhnya, termasuk hubungan antara watak-watak, misteri di sebalik rumah terbabit, serta pengaruh ritual yang digambarkan.

Tajuk filem ini, Dajal: Satu Malam diPedajal, dipilih untuk memberikan impak yang lebih kuat, merujuk kepada pengikut Dajjal yang berkelana menuju kegelapan.
Pierre berkata, tumpuan utama filem ini adalah penceritaan yang mudah difahami oleh penonton tanpa terlalu bergantung kepada kesan khas atau elemen seram semata-mata.
Sebagai pengarah yang banyak mendapat inspirasi daripada karya seram klasik seperti Evil Dead, Pierre juga mengakui cabaran utama yang dihadapi dalam menghasilkan filem ini adalah kekangan bajet yang membataskan penggunaan kesan visual yang lebih besar.
Filem ini menampilkan barisan pelakon utama yang hebat, termasuk Amir Nafis dan pempengaruh terkenal, Bidin Al Zaifa.

Turut membintangi filem ini adalah Khatijah Tan, Jay Iswazir, Jaja Iliyes, Dai Syed, Hanna Halim, Dai Fuad, dan Arfa Danish.
Filem Dajal: Satu Malam diPedajal mengisahkan tentang dua pekerja Post Traumatic Cleaner yang terperangkap secara mistik di dalam sebuah banglo selepas salah seorang daripada mereka membaca sebuah buku ritual lama ketika menjalankan tugas pembersihan.
Filem ini sudahpun mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula semalam, 6 Februari.
