KUALA LUMPUR – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terus diterjemahkan dalam Program Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025 yang dianjurkan dengan kerjasama penaja utama, SoftRein dan Biofitrah.
Misi tahun ini lebih besar, menyasarkan bantuan kepada 1,000 individu yang terdiri daripada asnaf, pelajar tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, penghuni rumah orang tua, serta golongan gelandangan.
Mewakili penganjur, pelakon dan penyanyi Putra Amaris berkata, program ini bertujuan mengumpulkan sumbangan dalam bentuk barang keperluan harian, wang tunai, makanan sedia dimakan, peralatan sekolah, lampin pakai buang dan banyak lagi untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan, termasuk anak-anak tahfiz, anak yatim, anak-anak pesakit kanser, orang tua, dan golongan gelandangan.
“Pelbagai program sudah kami aturkan untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Program ini turut menyasarkan dana untuk membina sebuah bangunan baru bagi Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat, Kuala Lumpur.
“Bagi mencapai matlamat berkenaan, satu majlis amal, Tahfiz Berselawat, akan diadakan pada 15 Mac 2025 di Warung Pagi Pagi.
“Majlis ini bertujuan untuk mengumpulkan dana melalui penjualan meja, di mana hasilnya akan disalurkan terus kepada Maahad Tahfiz berkenaan,” katanya selepas melancarkan program berkenaan, semalam.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Rakan Kongsi Saloma; Mohd Khairi Mohamed, Pengerusi The Muslim world womens summit; Dr Raja Laila Rani Mohammad Abdullah dan C.O.O SoftRein; Aman Rasyidi Mohd Noor.
Amaris berkata, Pada 22 Mac pula, satu lagi Majlis Tahfiz Berselawat akan diadakan di Saloma Kuala Lumpur, di mana sebanyak 30 meja akan dijual, bersamaan dengan 300 kerusi.
“Dana yang terkumpul akan disalurkan ke Maahad Tahfiz, dan sebahagian daripadanya akan disumbangkan kepada Pesakit Kanser Kanak-Kanak melalui Adina Charity Circle.
“Dana juga akan digunakan untuk membeli baju sekolah, baju raya, lampin pakai buang, serta susu bernutrisi bagi anak-anak pesakit kanser di seluruh Malaysia,” katanya lagi.
Amaris berkata, program ini juga tidak ketinggalan bekerjasama dengan Rumah Orang Tua Mesra Home Ampang dalam usaha mengumpulkan dana melalui penjualan buku Aku Penjaga Nenek.
Hasil penjualan buku ini akan membantu penjaga di sana untuk menjaga lebih 20 orang warga emas yang tidak mempunyai waris.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, Team Kongsi Rezeki bersama sukarelawan akan menyantuni asnaf di kawasan PPR sekitar Kuala Lumpur dan Malaysia dengan menyampaikan 1000 set bakul makanan, 1000 kampit beras, makanan sedia dimakan dan pelbagai bantuan lain.
“Platform infaq turut disediakan melalui kerjasama dengan Today Assist, yang membolehkan semua orang berinfaq dengan mudah melalui hujung jari.
“Semua program yang dirancang akan dimuatkan dalam platform berkenaan, memudahkan orang ramai membuat sumbangan kepada rumah kebajikan yang dipilih,” katanya.
Satu lagi usaha murni yang dilakukan adalah program Infaq Surau di kawasan perumahan asnaf, khususnya di PPR.

Sasaran adalah untuk menyumbangkan 1000 sejadah dan 1000 botol sabun SoftRein bagi keperluan solat mereka.
“Team Kongsi Rezeki bersama SoftRein komited untuk memastikan setiap sumbangan disalurkan sepenuhnya tanpa sebarang potongan, menjadikan setiap infaq yang diberikan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Kami juga mengajak mana-mana individu, komuniti, dan syarikat korporat untuk turut sama menjayakan inisiatif ini.
“Walaupun sumbangan kita mungkin kecil, tetapi ia mampu memberi impak besar kepada mereka yang dalam kesusahan.
“Mari kita jadikan Ramadan kali ini lebih bermakna dengan memberi dan berkongsi rezeki bersama SoftRein,” kata Amaris.