editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dengan penuh rasa syukur dan keprihatinan, Program Kongsi Rezeki: Tahfiz Berselawat 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Warung Pagi Pagi Federal Hill, baru-baru ini.
Program ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi pembangunan infrastruktur Maahad Tahfiz al-Quran Misbahul Falah di Keramat, serta untuk membantu anak-anak tahfiz di sekitar Kuala Lumpur.
Mengangkat tema “Putih Bersih”, program buka puasa amal ini turut mengundang komuniti untuk bersama-sama beramal dan memberikan sokongan kepada generasi al-Quran.
Bertemakan “Tahfiz Berselawat”, program ini diadakan pada bulan Ramadan yang penuh berkah, dan ia menjadi platform untuk kita menyatukan hati dalam menyokong anak-anak tahfiz dari pelbagai lapisan masyarakat.

Program ini adalah hasil kerjasama Warung Pagi Pagi, Softrein, Bateriku.com, dan Bigo Live dalam melaksanakan tanggungjawab sosial serta mengukuhkan semangat kebersamaan di bulan penuh rahmat ini.
Turut menampilkan Kumpulan Raihan, program ini pastinya bukan hanya menyemarakkan bulan Ramadan, tetapi juga memberi impak mendalam bagi mereka yang merindukan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sebagai penganjur, pelakon dan penyanyi, Putra Amaris berkata, pihaknya terharu apabila usaha ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak.
“Program ini mendapat sambutan yang luar biasa dan kami mengharapkan dana yang diterima lebih daripada sasaran. 100 peratus dana diterima akan disumbangkan terus kepada rumah tahfiz yang terbabit.
“Setiap sumbangan dana yang diberikan sangat bermakna untuk anak-anak ini.
“Alhamdulillah Sangat ramai penaja yang sudi bersama-sama dalam program kongsi rezeki ini, semoga setiap sasaran dana yang kami harapkan berjaya dikumpul,” katanya.

Pada majlis itu, seramai lebih 100 orang anak tahfiz dari sekitar Kuala Lumpur berjaya dihimpunkan.
Majlis ini turut menyajikan acara buka puasa bersama anak-anak tahfiz, diiringi dengan selawat dan tazkirah ringkas daripada ustaz.
Hasil penjualan meja di majlis ini akan disalurkan terus kepada pembangunan Maahad Tahfiz.
Sebagai sambungan kepada program ini, pada 22 Mac 2025, Majlis Tahfiz Berselawat akan diadakan di Saloma Kuala Lumpur.
Sebanyak 30 meja dengan 300 kerusi disediakan untuk dijual, dan hasil penjualannya akan disalurkan kepada Maahad Tahfiz serta sebahagian akan diinfaqkan kepada Pesakit Kanser Kanak-Kanak melalui Adina Charity Circle.
Dengan sokongan penuh daripada Warung Pagi Pagi, harga tempat duduk di acara ini ditawarkan pada harga kos sahaja, dan sebahagian daripada tempat duduk akan ditaja untuk pelajar tahfiz, ustaz-ustazah.
Pihak Warung Pagi Pagi juga menaja tempat duduk untuk mereka yang terbabit.

Bagi mereka yang ingin berinfaq, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun CIMB: 8602008531 atas nama Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah.
Pihak penganjur, Team Kongsi Rezeki, turut menegaskan mereka tidak mengambil sebarang keuntungan daripada sumbangan yang diterima.
Semua dana akan disalurkan sepenuhnya kepada mereka yang memerlukan, dengan pihak penganjur berperanan sebagai pengantara dan sukarelawan.
“Kami percaya sumbangan walaupun kecil dapat memberi impak yang besar kepada mereka yang memerlukan.
“Marilah bersama-sama menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna dengan memberi dan berkongsi rezeki bersama generasi al-Quran,” katanya lagi.