KUALA LUMPUR – Menjelang musim perayaan, tidak lengkap rasanya tanpa lagu raya.
“Di Hari Mulia” yang menyatukan penyanyi Syaffiq Sahli dan Boss Wan, bersama MayaTheGirls, kini sudahpun dilancarkan.
Lagu ini adalah hasil kerjasama antara Aiman (Zul2by2) sebagai pencipta lagu dan Anje Maya sebagai komposer, manakala liriknya ditulis oleh Bonda Puteri Ryana dan diterbitkan oleh Fiz Star Empire.
Menurut Zul2by2, idea untuk mencipta lagu raya ini sudah tercetus bersama Bonda Puteri sejak tahun lalu.
Mereka ingin menghasilkan sebuah lagu yang segar, rancak, dan mudah difahami oleh pendengar.
“Kami tak mahu lagu yang sedih. Kami mahu sesuatu yang ceria dan sesuai untuk suasana raya,” katanya.
Berkongsi pemilihan penyanyi, Zul turut mencadangkan Syaffiq Sahli sebagai penyanyi utama kerana dirasakan suaranya sesuai dengan tema lagu.
Setelah mendapat persetujuan daripada Bonda Puteri, mereka memutuskan untuk menjemput Boss Wan, kerana keserasian mereka berdua yang sudah lama terjalin sejak di TikTok.
Sementara itu, Syaffiq Sahli pula berkongsi pengalamannya mengenai kolaborasi ini dan mengakui sangat selesa bekerja dengan Boss Wan.

“Kami banyak buat content di TikTok bersama dan lagu raya ini adalah pertama kali kami bekerjasama dalam projek muzik.
“Kami juga merancang untuk mengadakan ‘dance challenge’ untuk mempopularkan lagu ini di TikTok,” katanya.
Syaffiq berkata, impak daripada menyertai program Gimmie The Mic Malaysia 2024 dalam hidupnya sangat besar, terutama setelah 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
Dalam pada itu, Boss Wan, yang juga seorang ‘content creator’, turut berkongsi pengalaman terbabit dalam menjayakan projek lagu raya ini yang datang secara kebetulan.
“Semuanya berlaku kebetulan dan ketika itu Syaffiq sedang bersama saya, dia terus menawarkan untuk bersama-sama menjayakan lagu ini dan apa salahnya untuk saya cuba.
“Saya tak pernah merancang untuk menjadi penyanyi atau pelakon, tetapi apabila rezeki datang, saya tak tolak. Saya rasa saya mampu melakukannya dan akan cuba memberikan yang terbaik,” kata Boss Wan dengan rendah hati.
Bagi Bonda Puteri, yang mencipta lirik lagu ini, ilham menghasilkan lagu “Di Hari Mulia” datang pada tahun lalu.
“Memilih Syaffiq dan Boss Wan sebagai penyanyi bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi saya suka melihat keserasian mereka di TikTok.
“Mereka berdua mempunyai aura yang hebat dan saya rasa mereka layak untuk membawakan lagu ini,” katanya.
Dalam pada itu, pihak produksi lagu ini turut merakamkan penghargaan kepada Hotel Royal Signature yang telah menjadi lokasi istimewa untuk pelancaran dan sidang media acara berkenaan.

Lagu “Di Hari Mulia” ini dijangka menjadi salah satu lagu raya yang segar dan mendapat tempat di hati pendengar, dengan konsep yang tidak biasa dan mudah diterima ramai.
Meskipun lagu raya sering kali sukar untuk dijangka penerimaannya, mereka percaya bahawa lagu ini akan berjaya kerana ia menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan moden.
Setelah kejayaan lagu ini, Zul juga merancang untuk Syaffiq dan Boss Wan berduet dalam lagu seterusnya selepas musim raya, yang pasti akan dinanti-nantikan oleh peminat mereka.
Dengan kolaborasi yang memikat dan semangat perayaan yang terkandung dalam setiap lirik dan irama, “Di Hari Mulia” dijangka akan membawa kegembiraan dan keceriaan di musim raya ini.