KUALA LUMPUR, 23 Mac 2025 – Menteri Besar Pahang, YAB Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, telah menyempurnakan Program Penyerahan Baucer Minyak “Moh Balik Raya” di Kampung, yang merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memudahkan anak-anak Pahang yang berada di perantauan pulang beraya. Program ini bukan sahaja bertujuan membantu dari segi kewangan, malah menjadi platform untuk kerajaan negeri berkongsi perkembangan terkini di Pahang.
Datuk Seri Wan Rosdy menekankan bahawa program ini adalah langkah positif kerajaan negeri untuk berkomunikasi secara langsung dengan anak-anak Pahang di luar negeri. Beliau turut menjelaskan perkembangan terkini Pahang, termasuk peningkatan rizab Melayu dari 200,000 hektar pada tahun 1955 kepada 400,000 hektar pada hari ini, iaitu peningkatan sebanyak 12.34%.
Selain itu, beliau turut menyenaraikan beberapa bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk rakyat Pahang. Antaranya, pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) akan menerima bantuan RM400, manakala mereka yang menunaikan haji akan mendapat bantuan RM750. Bagi keluarga yang menghadapi masalah perumahan, kerajaan negeri telah membina 8 buah rumah rakyat Pahang secara percuma di setiap daerah.
Seramai 1,000 anak Pahang hadir pada program tersebut, manakala 4,000 lagi akan menerima baucer minyak di kawasan masing-masing apabila pulang bercuti. Datuk Seri Wan Rosdy menyeru agar anak-anak Pahang yang berada di perantauan menjaga hubungan dengan negeri kelahiran dan bersama-sama memakmurkan Pahang. Beliau juga mengingatkan mereka supaya berhati-hati di jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika pulang beraya.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri pimpinan YAB Datuk Seri Wan Rosdy untuk membantu rakyat Pahang, terutamanya mereka yang berada di luar negeri. Seramai 5,000 anak Pahang telah dipilih melalui pendaftaran yang dibuat sebelum ini, dengan fokus kepada mereka yang tidak menerima bantuan pada tahun 2024.