KUALA LUMPUR – Seorang peminat yang ingin menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April depan, meminta penyanyi legenda Datuk Amy Search menukar tarikh konsert solo pertamanya yang dijadualkan berlangsung pada hari yang sama di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert Amy Search Magic First Solo Concert yang telah lama dinantikan itu bakal diadakan bersebelahan dengan Stadium Nasional, tempat berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia.
Namun, Amy Search yang juga berasal dari Johor Bahru, Johor, membalas permintaan peminat itu dengan tenang dan berseloroh, mengatakan peminat tidak perlu menonton perlawanan berkenaan kerana sudah pasti JDT akan memenangi perlawanan itu.
“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” katanya sambil ketawa.

Peminat itu bersetuju dengan kenyataan Amy akhirnya berkata, mereka akan tetap hadir ke konsert solo pertama Amy meskipun terlepas untuk menonton perlawanan bola sepak terbabit
“Terbaik datuk. Betul juga. Baiklah saya ‘on’ konsert Amy,” tulisnya dengan semangat.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru-baru ini mengumumkan perubahan tarikh untuk aksi final Piala Malaysia 2025 yang kini berlangsung pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Walau bagaimanapun, Amy tetap berpegang pada tarikh yang telah ditetapkan untuk konsert solonya yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Setelah 44 tahun berkarier dalam industri muzik, Amy Search, yang juga dikenali sebagai Suhaimi Abdul Rahman, 67, menganggap konsert solo ini sebagai detik penting dalam sejarah kerjayanya.
“Amy Search Magic First Solo Concert” adalah acara yang dinanti-nantikan oleh peminat, selepas lebih empat dekad berkelana dalam dunia seni.
Tiket untuk konsert ini sudah mula dijual sejak 5 Februari lalu di platform www.wowtix.com.my.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan penuh magis daripada penyanyi legenda ini.