KUALA LUMPUR – Amalan tradisi kuno yang jarang dipaparkan dalam media arus perdana, terutama di Sabah, kini diangkat dalam sebuah filem seram yang menggabungkan budaya, mistik, dan elemen kekeluargaan.
Filem Mantera, terbitan Pro Merge Vision Sdn. Bhd., mengisahkan tentang tradisi lama amalan ritual yang dijalankan oleh ‘Bobolian’, atau bomoh, yang terkenal dalam kalangan kaum Dusun di Sabah.
Pengarah filem ini, Chester Pang berkata, Mantera diilhamkan daripada kisah tradisi Bobolian yang semakin dilupakan.
“Saya merasa terpanggil untuk berkongsi dengan penonton tentang kewujudan amalan tradisi yang telah lama dipraktikkan oleh kaum Dusun di Sabah, yang kini semakin jarang diamalkan.

“Bobolian bukan sekadar seorang bomoh, tetapi juga ketua adat yang berperanan sebagai perantara antara dunia manusia dan ‘kinohiringan’ (dewa).
“Kisah Bobolian ini amat menarik untuk diangkat kerana ia jarang diterokai dalam filem tempatan,” katanya.
Mantera dibintangi oleh barisan pelakon seperti Syafie Naswip, Namron, dan beberapa pelakon kelahiran Sabah seperti Jovenia Jim, Wedylin Batala, dan Larry Noh.
Filem ini mengisahkan penyiasatan pembunuhan yang berkait rapat dengan amalan Bobolian dan turut memaparkan ritual-ritual tradisional serta elemen roh jahat yang mempengaruhi kehidupan masyarakat.

Selain babak-babak seram yang mendebarkan, Chester turut berkongsi beberapa insiden menyeramkan yang berlaku semasa penggambaran filem ini pada Februari 2024 di beberapa lokasi seperti Tambunan, Apin-Apin, dan Kota Belud.
“Salah satu insiden berlaku ketika babak memanggil roh di sebuah balai raya, di mana pelakon utama wanita dan seorang pelakon pembantu wanita dirasuk.
“Namun, insiden itu berjaya dikawal oleh seorang guru silat yang kebetulan berada di lokasi,” katanya.
Beliau juga menceritakan insiden kedua di mana seorang kru terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa dirinya seolah-olah ditarik sesuatu, yang turut disaksikan oleh Syafie Naswip dan Namron.
Biarpun berhadapan dengan kejadian menyeramkan, Chester tetap optimis bahawa Mantera akan diterima baik oleh penonton.
“Mantera bukan sekadar filem seram, tetapi ia turut membawa naratif yang lebih dalam tentang budaya masyarakat Sabah yang jarang dipaparkan.
“Gabungan elemen seram dan mistik yang bertemakan budaya ini adalah daya tarikan utama filem ini,” katanya lagi.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam mulai 24 April 2025.

SINOPSIS
Mantera mengisahkan Tana, seorang wanita muda yang mewarisi kebolehan spiritual daripada keturunan Bobolian. Tana terpaksa berdepan dengan pelbagai kejadian aneh dan seram apabila roh jahat mula menyerang orang-orang yang dekat dengannya.
Ketika berusaha mengungkap asal-usul roh jahat itu, Tana menemui kaitan antara roh dengan nenek moyangnya, Ondiya, seorang Bobolian.
Bersama Inspektor Zafri, seorang polis muda dengan masa lalu yang gelap, mereka harus bertarung dengan roh jahat ‘Rogon Lupiah’ dalam pertarungan epik yang menakutkan.