KUALA LUMPUR, 27 April 2025 – Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan cemerlang apabila calon mereka, Ustaz Yusri Bakir, berjaya meraih majoriti sebanyak 5,006 undi.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, mengucapkan tahniah atas kejayaan ini sambil menyifatkannya sebagai petanda positif terhadap kekuatan gabungan BN dan PH di mata rakyat.

Mengulas keputusan PRK itu, Datuk Gulam Muszaffar yang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, menegaskan bahawa dakwaan sesetengah pihak kononnya sokongan rakyat terhadap BN dan PH semakin merosot tidak berasas. Beliau menyarankan semua pihak melihat fakta sebenar daripada keputusan semalam, khususnya dalam konteks sokongan pengundi pelbagai kaum.

Antara analisis penting, lebih 80% pengundi bukan Melayu yang keluar mengundi telah memberikan sokongan kepada BN, manakala sebahagian kecil memilih Parti Sosialis Malaysia (PSM), bukannya Perikatan Nasional (PN). Ini menunjukkan kekuatan sokongan rentas kaum yang masih kukuh kepada BN.

Lebih membanggakan, 10 daripada 11 pusat daerah mengundi (PDM) bermajoriti Melayu yang tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum lalu kini kembali memihak kepada BN/UMNO walaupun kadar keluar mengundi lebih rendah. Ini, menurut beliau, adalah petunjuk jelas pemulihan kepercayaan di kalangan pengundi Melayu.

Satu lagi perkembangan positif ialah peningkatan ketara sokongan daripada golongan muda, di mana hampir semua saluran pengundi muda memihak kepada BN/UMNO, sekali gus membuktikan strategi mendekati belia membuahkan hasil.

Datuk Gulam Muszaffar turut mengingatkan bahawa sistem demokrasi negara berpaksikan model Westminster, di mana kemenangan dinilai berdasarkan jumlah kerusi atau undi majoriti, bukan semata-mata statistik penguasaan seperti yang cuba digambarkan oleh PN. Beliau mengibaratkan situasi ini seperti perlawanan bola sepak, di mana kemenangan diukur melalui jaringan gol, bukan penguasaan padang.

Beliau menyeru pemimpin PN supaya berhenti ‘syok sendiri’ dengan statistik yang tidak membawa makna sebenar. Beliau turut menekankan bahawa “template dan formula” kemenangan BN di PRK Nenggiri, Mahkota dan kini di Ayer Kuning adalah realiti yang perlu terus diperkukuhkan untuk kejayaan masa depan.

Leave a Reply