KUALA LUMPUR – Setelah dua dekad mewarnai industri fesyen tanah air dengan sentuhan rekaan elegan dan eksklusif, jenama terkenal Rizman Ruzaini kini bersedia melakar langkah baharu yang lebih berani dengan membuka butik pertama mereka di Dubai.

Langkah ini bukan sahaja melambangkan pencapaian besar buat mereka, malah turut membawa aspirasi untuk mengangkat budaya dan identiti Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Salah seorang pengasasnya Rizman berkata, hasrat membawa rekaan mereka ke pentas dunia bukanlah semata-mata untuk mengejar populariti global, sebaliknya sebagai usaha memperkenalkan keunikan seni fesyen tempatan kepada masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, setiap peluang yang diterima untuk mempersembahkan rekaan di luar negara sentiasa dimanfaatkan sepenuhnya untuk mewakili Malaysia.

“Setiap kali diberi peluang untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa, memang Rizman Ruzaini akan membawa Malaysia bersama.

“Bagi kami di Rizman Ruzaini, ini adalah cara untuk memastikan masyarakat antarabangsa melihat Malaysia,” katanya.

Mengimbas kembali permulaan perjalanan mereka dalam dunia fesyen, Rizman berkongsi bagaimana mereka dahulu menjadikan selebriti terkenal tanah air sebagai wajah utama koleksi mereka.

Kini, dengan misi yang lebih besar, jenama Rizman Ruzaini memasang impian untuk melihat busana rekaan mereka digayakan oleh selebriti antarabangsa pula.

Keyakinan terhadap kekuatan jenama yang dibina selama 20 tahun menjadi pemangkin utama kepada keputusan membuka butik di Dubai.

Rizman berkata, mereka telah pun mempunyai kelompok pelanggan tetap dari Timur Tengah yang selama ini memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap jenama mereka.

“Memang dalam perancangan untuk Rizman Ruzaini membuka sebuah butik di Dubai. Malah ketika ini juga kami sudah mempunyai barisan pelanggan terutamanya dari Timur Tengah yang memang banyak memberi sokongan.

“Oleh itu, pembukaan butik ini nanti secara tidak langsung dapat memenuhi permintaan daripada pelanggan di sana,” katanya.

Dalam memastikan jenama Rizman Ruzaini terus relevan dan kompetitif dalam industri fesyen yang kian mencabar, pihaknya turut merancang untuk melakukan beberapa perubahan strategik dari segi struktur perniagaan.

Perubahan ini dijangka akan memberikan nafas baharu kepada jenama Rizman Ruzaini dan membuka ruang untuk pertumbuhan yang lebih mapan.

“Memang kami sedang merancang ke arah itu, selepas hampir 20 tahun, ini adalah waktu yang sesuai untuk Rizman Ruzaini melakukan penjenamaan semula.

“Kami harap dengan perubahan ini, ia akan memberi peluang untuk jenama ini berkembang lebih maju,” katanya lagi.

Dengan langkah berani ini, Rizman Ruzaini bukan sahaja meletakkan nama Malaysia di peta fesyen dunia, malah turut menjadi inspirasi kepada pereka muda tanah air untuk berani mengejar impian di pentas antarabangsa.

By Cynthia

Leave a Reply