Foto Bangsawan Pictures

KUALA LUMPUR – Axiata Arena Bukit Jalil sekali lagi menjadi saksi kepada detik bersejarah dalam industri muzik tanah air apabila kumpulan KRU menutup tirai konsert mereka dengan penuh gemilang pada malam keempat persembahan.

Dihadiri ribuan peminat yang membanjiri ruang stadium, konsert yang bermula sekitar jam 8.45 malam itu menyaksikan sorakan gegak gempita mengiringi setiap detik persembahan, seolah-olah mengukuhkan lagi status KRU sebagai satu nama yang kekal utuh dalam jiwa peminat seni hiburan tempatan.

Dari segenap lapisan umur dan latar belakang, peminat hadir bukan sekadar menonton, malah turut sama menyanyikan lagu-lagu nostalgia yang pernah menjadi siulan suatu ketika dahulu.

Berbanding konsert GenKRU yang berlangsung minggu sebelumnya, persembahan kali ini tampil lebih segar dengan penambahan lagu seperti Malam Kita dan Semuanya OK, mencetuskan suasana yang lebih bertenaga dan penuh emosi.

Keistimewaan konsert tidak terhenti di situ. Kehadiran Abon, yang pernah tampil dalam klip video lagu Terhangat di Pasaran, berjaya menambah warna dalam suasana persembahan.

Kemeriahan turut memuncak dengan penampilan mengejut Adam serta kehadiran semula kumpulan Feminin yang menyampaikan lagu Untukmu.

Lagu itu yang pernah menguasai carta lebih dua dekad lalu, kembali menghangatkan arena apabila mereka bersatu di pentas bersama KRU satu momen yang pasti terpahat dalam ingatan penonton.

Tidak ketinggalan, kumpulan Elite tampil dengan lebih bertenaga dalam persembahan pada malam itu, menceriakan suasana dan menghiburkan peminat setia.

Sorakan semakin membuak apabila Dato’ AC Mizal membuat kemunculan istimewa, tampil menyanyi, menari dan berinteraksi secara langsung dengan KRU serta penonton, menambahkan elemen keakraban dan hiburan tulen dalam konsert berkenaan.

Sebagai penghargaan terhadap era kegemilangan muzik 90-an, KRU turut menayangkan klip video daripada kumpulan-kumpulan seangkatan seperti Nico, Res’2 dan M’steen.

Paparan berkenaan bukan sekadar mengimbau kenangan, malah memperlihatkan semangat persaudaraan dan penghormatan sesama artis dalam industri hiburan tanah air.

Setelah lebih tiga dekad mengemudi arus muzik tanah air, KRU tidak hanya dikenang sebagai penyanyi, malah sebagai ikon yang berjaya mengekalkan ikatan persaudaraan dan profesionalisme dalam pelbagai cabang daripada perniagaan, perfileman, hinggalah ke pentas muzik.

Jenama KRU bukan sekadar sebuah nama, tetapi satu lambang kejayaan yang mahal harganya dan terus menjadi inspirasi merentas generasi.

Tahun 2025 kini terpahat sebagai satu detik istimewa buat peminat GenKRU.

Momen bersejarah ini menjadi bukti bahawa muzik mampu menyatukan hati tanpa mengira usia, bangsa atau latar hidup.

Ia adalah satu perjalanan emosi dan kenangan yang tidak mudah dilupakan sebuah perayaan terhadap muzik, cinta dan persaudaraan.

Persoalannya kini, adakah KRU akan kembali dengan sebuah konsert berskala lebih besar? Mungkinkah Feminin dan Elite akan bersatu dalam satu persembahan mega? Jawapannya masih menjadi tanda tanya.

Namun satu perkara yang pasti adalah peminat kini menantikan dengan penuh debaran.

Sementara itu, kita raikan sejarah yang telah tercipta. Bersama KRU, segalanya tidak mustahil.

By Cynthia

Leave a Reply